CHICAGO: Desas-desus bahawa Encik Barack Obama secara rahsia adalah penganut Islam atau mempunyai hubungan dengan pelampau Islam menimbulkan kemarahan kepada masyarakat Islam Amerika Syarikat, yang kuat menyokongnya dalam pilihan raya Selasa lalu, kata pakar-pakar semalam.
Perangkaan undian yang tidak diterbitkan menunjukkan bahawa pemimpin Demokrat itu meraih antara 67 dengan 90 peratus undian masyarakat Islam di Amerika, mungkin lebih dekat lagi ke paras yang lebih tinggi itu, kata Encik Ahmed Younis dari Pusat Kajian Islam Gallup Organization, dalam satu taklimat melalui telefon.
Detik bersejarah bagi masyarakat Islam Amerika berlaku pertengahan Oktober lalu, katanya, apabila mantan setiausaha negara Amerika, Encik Colin Powell, seorang Republikan yang menyokong Encik Obama, menjawab desas-desus kononnya Encik Obama seorang Islam dan menyifatkan idea itu satu penghinaan.
'Apakah salah menjadi orang Islam dalam negara ini?' kata Encik Powell dalam satu rancangan Meet The Press oleh stesen televisyen NBC.
'Jawapannya tidak, itu bukan (sikap) Amerika... Namun, saya pernah mendengar anggota kanan daripada parti saya sendiri yang membayangkan 'dia orang Islam dan dia mungkin bersekutu dengan pengganas',' tegas Encik Powell.
Encik Younis berkata ulasan itu memberi harapan kepada hasrat masyarakat Islam Amerika, yang membentuk kurang 1 peratus daripada 305 juta penduduk Amerika, 'untuk menjadi sebahagian negara itu'. -- Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment