Pages

Sunday, November 9, 2008

3 pengebom Bali jalani hukuman mati ditembak

CILACAP, Indonesia: Tiga pengebom Bali, yang didapati bersalah menyebabkan kematian 202 orang enam tahun lalu, menjalani hukuman mati ditembak tengah malam tadi.

Hukuman ke atas Imam Samudra, Amrozi Nurhasyim dan adiknya Ali Ghufron telah dilaksanakan pada pukul 11.30 malam tadi, beberapa kilometer dari penjara dikawal ketat di pulau Nusakambangan island.

Qadar Faisal, salah seorang peguam mereka berkata, jenazah ketiga-tiga mereka telah dibawa dengan helikopter ke kampung mereka untuk tujuan pengebumian hari ini.

Dalam pada itu, laporan Bernamasemalam menyebut sejak Mahkamah Agung Indonesia memutuskan hukuman mati itu akan dilaksanakan pada awal bulan dan tidak akan melepasi 15 November, media massa tempatan baik cetak mahupun elektronik dan TV tidak putus-putus melaporkan pelbagai aspek pelaksanaan hukuman tembak itu.

Berpuluh wartawan tempatan dan asing sudah menunggu sejak beberapa hari lepas di pelabuhan menuju ke pulau itu dan di kampung halaman lelaki yang mereka istilahkan sebagai 'Pengebom Bali' itu.

Semalam keluarga seorang daripada pesalah itu, Amrozi, dilaporkan telah bertolak dari kampungnya di Lamongan, Jawa Timur menuju ke penjara Nusakambangan di Cilacap Jawa Tengah.

Laporan media massa tempatan menyebut mereka yang diiringi dua pegawai pemerintah ialah kedua-dua isteri Amrozi iaitu Choiriyana dan Rochma, juga kedua-dua isteri seorang pesalah lagi, Muklas, iaitu yang dikenali hanya dengan nama Paridah yang berasal Malaysia dan Ana dari Solo, Jawa Tengah.

Seorang anaknya yang masih belajar di sekolah rendah dan dua adik beradik kandung Amrozi juga turut berangkat.

Petanda ke arah dekatnya pelaksanaan hukuman mati itu sudah cukup banyak dilaporkan termasuk persiapan tiga buah helikopter oleh pihak berkuasa untuk membawa jenazah ketigatiga mereka ke kampung halaman masing-masing dan keterangan keluarga Amrozi bahawa mereka dilarang mengkafankan semula jenazah itu.

Di kampung halaman Amrozi pula, pihak keluarganya malah mengeluarkan pas khas yang menurut TV tempatan diberi label "Kafilah Syuhahad" untuk memastikan wartawan yang akan membuat liputan benar-benar wartawan.

Panjangnya waktu yang diambil untuk melaksanakan hukuman mati itu membuat banyak pihak tertanyatanya dan terbaru ialah tokoh terkemuka dari Parti Amanat Nasional, Amien Rais.

Menurut agensi berita Antara, keraguan Amien itu berpunca daripada sikap pemerintah Indonesia yang tidak kunjung tiba memberi kepastian tentang pelaksanaan hukuman mati itu.

"Saya menilai pemerintah ragu-ragu dalam menentukan sikap eksekusi ini.

"Masakan kes yang sudah berlangsung enam tahun dan hukumannya telah jelas dijatuhkan masih juga menjadi misteri, ini dunia yang aneh," katanya, yang menambah bahawa keraguan pemerintah itu membuat masyarakat tertanya-tanya.

Beliau meragui kemampuan Amrozi dan rakan-rakannya membuat bom sebesar yang digunakan di Bali itu dan mendesak pemerintah mencari dalang yang sebenarnya.

Belum dapat dipastikan sehingga malam ini sama ada semua petanda itu menunjukkan hukuman mati ke atas mereka, yang turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa terutama keluarga rakyat asing yang mati dalam tragedi itu, akan dilaksanakan dinihari esok. BERNAMA


No comments:

Posting Terkini