Pages

Sunday, November 9, 2008

Mesyuarat Bahagian Seremban Kecoh

KEPALA BATAS, 9 Nov -- Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kecewa dengan pergaduhan yang berlaku semasa persidangan perwakilan Umno Bahagian Seremban hari ini dan menyifatkan ia sebagai kejadian yang amat memalukan.

Beliau berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan setiap perwakilan harus mematuhi peraturan dan perjalanan mesyuarat dengan baik.

Katanya tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka yang terlibat jika didapati bersalah.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas, di sini, Perdana Menteri berkata bukan sahaja politik wang yang boleh dikenakan tindakan disiplin malahan kes yang melibatkan pergaduhan juga boleh diambil tindakan sama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pergaduhan yang tercetus pada persidangan perwakilan Bahagian Seremban hari ini sehingga menyebabkan dua perwakilan cedera akibat dibaling kerusi dan mesyuarat terpaksa ditangguhkan.

Sebaik diajukan soalan itu oleh wartawan, beliau terus menghubungi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi telefon bimbit seorang pengawal peribadinya bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian itu.

Abdullah turut mengarahkan Mohamad supaya membuat laporan kepada ibu pejabat Umno dengan segera dan pada masa yang sama, pemantau daripada ibu pejabat, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik juga berbuat demikian.

Perdana Menteri berkata oleh kerana kejadian itu mengakibatkan kecederaan kepada perwakilan, ia juga merupakan satu perbuatan jenayah dan boleh dikenakan tindakan menurut Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini