SUBANG JAYA, 9 Nov -- Malaysia, yang berhasrat mencapai status negara maju, tidak harus menumpukan perhatian kepada pembangunan fizikal dan penilaian berasaskan angka-angka pertumbuhan ekonomi sahaja tetapi sebaliknya harus juga memberi tumpuan kepada impak sosial dan politik, Raja Muda Perak, Raja Nazrin Sultan Azlan Shah bertitah hari ini.
"Perancangan pembangunan negara tidak lagi wajar ditumpukan dan dibataskan kepada pembangunan fizikal dan penilaian berasaskan semata-mata angka-angka pertumbuhan ekonomi.
Kajian impak sosial dan impak politik perlu diintegrasikan dalam pelan induk pembangunan fizikal dan pembangunan ekonomi.
"Jika impak sosial dan impak politik disisihkan, adalah dibimbangkan negara dan warga perlu membayar kos pembangunan dengan harga sosial dan harga politik yang tinggi," titah baginda ketika merasmikan majlis sambutan Hari Diabetes Sedunia dan sambutan ulangtahun ke-25 Persatuan Diabetes Malaysia di sini, Ahad.
Untuk itu, baginda bertitah, negara terutama mereka yang bertanggung jawab merangka pelan pembangunan, perlulah melihat aspek-aspek pembangunan dari kanta perancangan yang lebih meluas, melebar, mendalam dan komprehensif.
Raja Nazrin bertitah badan-badan bukan kerajaan (NGO) perlu ke hadapan berperanan aktif, bersuara secara tegas, menyampaikan pendirian untuk memastikan program pembangunan negara berlaku dan dilaksanakan secara lebih seimbang.
"Faktor-faktor kerosakan alam dan kerosakan sumber perlu dikawal secara serius. Penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan secara tegas untuk mempastikan kesejahteraan hidup warga, titah Raja Nazrin.
Baginda juga bertitah NGO sewajarnya mengambil langkah aktif membantu negara untuk mengurangkan perbelanjaan kesihatan dan perubatan melalui program-program pencegahan dan pendidikan yang lebih berkesan, mudah difahami dan dihayati oleh warga.
Titah baginda, indeks kesihatan warga adalah antara pengukur tahap kemajuan sesebuah negara dan Malaysia amat berbangga dengan pencapaian pembangunan prasarana fizikal terbaik, memiliki menara tinggi, lapangan terbang antara yang terbesar, jambatan terpanjang, lebuhraya yang moden, saluran telekomunikasi yang maju dan pelbagai senarai pencapaian yang membanggakan.
Kejayaan fizikal ini, titah Baginda, sangat perlu diimbangkan dengan pembangunan selari komponen perisian, antaranya tahap kesihatan warga dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
"Betapa penting dipastikan bahawa pembangunan prasarana, pembangunan industri, pembangunan ekonomi dan pembangunan komersial tidak perlu dikorbankan dengan kos kesejahteraan hidup dan kos kesihatan rakyat. Adalah janggal dan tempang kepada karakter sesebuah negara apabila berlakunya ketidak seimbangan antara pencapaian positif indeks pertumbuhan ekonomi, indeks pertumbuhan perdagangan, indeks pembangunan prasarana, sedangkan di pihak perisian memperlihatkan indeks negatif dari segi kualiti alam sekitar, pencemaran, kebersihan udara dan air, kesihatan dan kesejahteraan warga.
"Jika berlaku jurang yang semakin luas di antara dua skop pembangunan antara pembangunan perkakasan dengan pembangunan perisian, akan tempanglah perjalanan negara kerana berlakunya dualisme yang tidak selari antara dua entiti pembangunan," titah Raja Nazrin.
Bertitah mengenai penyakit diabetes, Raja Nazrin melahirkan kebimbanganya dengan bilangan pesakit penyakit itu yang semakin bertambah.
Angka pesakit diabetes, titah baginda, bukan sahaja meningkat pada kadar yang sangat membimbangkan malah lebih membimbangkan lagi didapati semakin ramai golongan kanak-kanak dan remaja kini menjadi mangsa pesakit diabetes.
"Tema kempen yang dipilih -- Diabetes di Kalangan Kanak-Kanak dan Remaja -- sempena Hari Diabetes Sedunia memperlihatkan betapa bertambah seriusnya wabak diabetes di kalangan remaja. Lebih merungsingkan pengidap tidak berakhir dengan penyakit diabetes sahaja.
"Tanpa pengawasan dan rawatan dan khidmat perubatan yang rapi lagi berkesan, pesakit diabetes akan dengan mudah terdedah kepada risiko menghadapi komplikasi-komplikasi lain seperti sakit jantung, darah tinggi, sakit buah pinggang, buta penglihatan dan berbagai komplikasi kesihatan yang lain," titah Raja Nazrin.
Baginda juga bimbang dengan kadar penghidap penyakit diabetes di Malaysia di mana 14 peratus daripada jumlah penduduk dewasa menghidap penyakit tersebut.
Ramai daripada pesakit-pesakit ini, titah Raja Nazrin, terdiri daripada mereka yang bermastautin di kawasan luar bandar dan di kalangan yang berpendidikan rendah dan ramai pula yang terdiri daripada rakyat miskin dan amat memerlukan bantuan pendidikan kesihatan mengenai kaedah untuk mengawal penyakit dari menjadi lebih bahaya.
"Negara ketika ini kelihatan menghadapi satu keadaan ketidak seimbangan dari segi perbelanjaan yang diperuntukkan kepada program kesihatan berbanding dengan pulangan hasil dari sudut keberkesanan.
Setiap tahun dan dalam setiap Rancangan Lima Tahun Pembangunan Malaysia, peruntukan kewangan untuk program kesihatan terus bertambah.
"Prasarana kesihatan dan perubatan demikian juga kakitangan professional dan separa professional di bidang perubatan dan kesihatan, kelengkapan dan peralatan khidmat rawatan dan khidmat perubatan terus ditambah.
Namun, wabak penyakit-penyakit berbahaya terus meningkat, berkembang sehingga mencecah angka yang semakin sukar ditampung dari segi kemudahan fizikal, peralatan dan pengubatan, demikian juga tenaga pakar, doktor dan paramedik yang dapat disediakan," titah Raja Nazrin.
Titah baginda, sumber kewangan negara untuk perbelanjaan kesihatan dan perubatan terus meningkat melibatkan kos yang semakin tinggi.
"Keadaan ini tentunya mengalih sumber kewangan negara dari dapat digunakan bagi membiayai perbelanjaan keperluan-keperluan sosial lain yang lebih produktif," titah Raja Nazrin.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment