Pages

Thursday, November 13, 2008

MENTERI LUAR INDON KOMEN 'PERTUNJUKAN' HUKUM PENGEBOM

CANBERRA: Pelaksanaan hukuman mati tiga militan yang bertanggungjawab terhadap pengeboman di Bali pada 2002 sepatutnya dilakukan dengan pengawalan lebih ketat untuk mengelakkannya daripada menjadi satu 'pertunjukan' awam, kata Menteri Luar Indonesia, Encik Hassan Wirajuda, semalam.

Ketiga-tiga anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah itu - Imam Samudra, Mukhlas dan Amrozi - menjalani hukuman mati melalui skuad penembak pada Ahad lalu kerana melakukan serangan bom ke atas sebuah kelab malam di Bali yang membunuh 202 orang, termasuk 88 warga Australia dan 38 rakyat Indonesia.

'Mungkin bagi diri ini, saya menjangkakan bahawa proses yang mengarah kepada hukuman mati para pengebom Bali itu sepatutnya tidak dibuka luas,' kata Encik Wirajuda kepada pemberita semasa mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatannya di Canberra.

Beberapa hari menjelang pelaksanaan hukuman mati itu, ketiga-tiga pengebom tersebut diwawancara oleh saluran- saluran televisyen tempatan, hingga membolehkan mereka mempengaruhi awam supaya mengadakan lebih banyak serangan ke atas orang Barat dan menggalakkan rakyat Indonesia supaya berusaha mewujudkan sebuah negara Islam.

Majlis pengebumian ketiga- tiga militan itu di kampung halaman masing-masing di Jawa pula mencetuskan pertempuran ganas antara polis dengan ratusan penyokong militan Islam.

Ia juga mendorong beberapa kedutaan asing di Indonesia memberi amaran pelancongan baru mengenai kemungkinan berlaknya serangan ke atas orang asing.

Encik Wirajuda berkata, dalam menjalankan hukuman mati itu, pemerintah Indonesia menunjukkan kesungguhannya memerangi para pelampau dan melakukan apa yang dijangkakan oleh rakyat Indonesia.

'Para pengebom Bali itu melakukan tindakan yang tidak boleh dimaafkan, membunuh sekian banyak orang dan saya fikir ia bukan pandangan kami sahaja, malah semua rakyat Indonesia bahawa mereka layak menerima hukuman seperti itu,' tegas beliau.

Menteri Luar Australia, Encik Stephen Smith, berkata ulasan media harian menjelang pelaksanaan hukuman mati itu menimbulkan penderitaan kepada mangsa-mangsa pengeboman Bali pada malam hari itu.

'Ia senantiasa terbuka bagi media Australia dan media Indonesia sama ada untuk melaporkan hal-hal seperti ini,' kata Encik Smith sambil menyokong penilaian Encik Wirajuda bahawa pertempuran dan bantahan selepas hukuman mati itu dijalankan adalah sebahagian daripada sebuah Indonesia yang demokratik. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini