KUALA LUMPUR, Oct 7 — Para penyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini sedang berusaha buat kali terakhirnya bagi memastikan Abdullah tidak pasrah dengan tekanan yang dibuat oleh para timbalannya dalam Umno.
Ini kerana, jika dibiarkan, Abdullah akan membuat pengumuman esok untuk melepaskan jawatan perdana menteri dan Presiden Umno kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak Mac ini.
Keputusan ini diambil Abdullah selepas ditekan begitu hebat oleh rakan-rakannya dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini.
Sebagai permulaan, Abdullah dikatakan akan membuat pengumuman dia tidak akan bertanding mempertahankan jawatan presiden Umno esok.
"Pak Lah diberikan gambaran oleh rakan-rakannya bahawa akar umbi Umno sudah tidak mahu kepada dia lagi. Kalau dia bertandingpun, dia besar kemungkinan tidak akan mendapat pencalonan yang cukup. Jadi, bagi mengelakkan dia malu, baik berundur. Ini gambaran yang diberikan Abdullah.
"Padahal, selepas disiasat, semua gambaran ini rupanya direkacipta oleh timbalan beliau sendiri untuk menekan Pak Lah agar berundur," kata satu sumber kepada Siasah.
Namun, apabila dimaklumkan perkara ini oleh rakan-rakannya, Abdullah sudah berada dalam keadaan pasrah dan sangat sedih dengan apa yang berlaku.
"Dia sangat terkejut dengan apa yang berlaku kerana dia sangat percaya kepada timbalannya selama ini. Dia pasrah kini. Biarlah apa orang hendak buat, dan dia mengambil pendirian kepentingan parti adalah segala-galanya," beritahu sumber yang rapat dengan Abdullah itu.
Bagi penyokong Abdullah, adalah tidak wajar untuk membebankan semua kesalahan kepada beliau.
"Pengarah pilihan raya BN 2008 adalah timbalan beliau. Takkan jeneral perang pulang ke ibu negeri beritahu punca kekalahan ini adalah raja. Dialah yang patut bertanggungjawab. Pak Lah kena tukar jeneral ini bukan dia yang kena berundur.
"Begitu juga dengan pilihan raya Permatang Pauh. Pengarah pilihan raya ini adalah timbalan beliau. Pengarah inilah juga yang meyakinkan Umno bahawa mereka boleh kalahkan Anwar di Permatang Pauh.
"Tiba-tiba, bila Anwar menang besar, sekali lagi Pak Lah dipersalahkan. Oleh itu kuasa perlu diserahkan kepada timbalannya. Betul ke ni?" kata seorang lagi penyokong Abdullah.
Beliau mengesyaki, semacam ada usaha untuk mengalahkan Umno dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh itu untuk memalukan Abdullah kerana dia adalah Pengerusi Umno Pulau Pinang.
"Siapa di belakang sumpah liwat di masjid Wilayah? Siapa yang menyebar dan memasang tape sumpah ini di merata-rata tempat di sepanjang kempen pilihan raya ini? Siapa pula yang turut bersumpah di sebuah masjid di Permatang Pauh bahawa dia tidak ada kaitan dengan Altantuya?
"Selepas pilihan raya baru semua tahu bahawa kedua-dua sumpah itu backfire kepada Umno dan Anwar menang besar kerananya. Apakah semua itu wajar dipersalahkan kepada Abdullah," katanya.
Bagi beliau dan ramai lagi pemimpin Umno, yang menjadi senjata Anwar sepanjang kempen itu adalah timbalan beliau bukannya Abdullah.
"Kes Altantuya, kes pembelian kapal selam, kes pembelian senjata dan sebagainya. Semuanya timbalan beliau, bukannya Pak Lah yang menjadi modal serangan Anwar," tambahnya.
Ekoran itu, mereka kini bimbang jika timbalan beliau yang naik menjadi presiden Umno dan Perdana Menteri, pembangkang akan lebih cepat mendapat kuasa tidak sebagaimana yang dibimbangi Abdullah.
"Pak Lah bimbang, jika dia membuat keputusan untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden, Umno akan berpecah dan akan menguntungkan pembangkang.
"Saya fikir tidak begitu. Jika timbalan beliau yang ada naik, lagi cepat pembangkang akan menang. Memang, dalam Umno timbalan beliau itu kelihatan sangat berpengaruh kerana kerja-kerja yang dia buat selama ini, namun pada mata rakyat, Pak Lah jauh lebih bagus dari timbalannya.
"Jika begitu, boleh jadi timbalan beliau boleh menang dalam Umno kerana kerja belakang tabirnya dan disokong oleh Tun Dr Mahathir pula, tetapi apabila pilihan raya umum datang, rakyat akan menolak Umno kerana tidak boleh menerima timbalannya itu. Ahli Umno kena fikir perkara ini," kata beliau lagi.
- Siasah Daily
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment