KOTA BAHARU, 7 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Pemantau Umno Kelantan menerima lebih 500 bantahan mengenai perjalanan mesyuarat Umno cawangan di seluruh negeri itu.
Setiausaha jawatankuasa itu Mirza Askary Abdul Wahab berkata antara bantahan itu ialah mesyuarat yang diadakan tidak mempunyai notis, mesyuarat tidak cukup korum, pindaan persidangan tanpa pengetahuan dan anggota tidak menandatangani senarai kehadiran.
"Kami menganggap bantahan ini sebagai perkara biasa dan boleh diselesaikan sebelum mesyuarat peringkat bahagian bermula Khamis ini," katanya.
Mirza Askary berkata cawangan-cawangan yang terlibat adalah dalam bahagian Rantau Panjang, Kubang Kerian, Kota Baharu, Kuala Krai, Pengkalan Chepa dan Pasir Puteh.
Pengerusi Veteran Umno Kelantan Datuk Rozali Isohak pula melahirkan rasa kecewa dengan peranan jawatankuasa itu yang disifatkan sebagai gagal menjalankan tugas untuk menentukan perjalanan mesyuarat cawangan berjalan dengan lancar dan teratur.
"Apa yang kita lihat sekarang jelas menampakkan jawatankuasa pemantau tidak menjalankan tanggungjawab dengan profesional sebagaimana digariskan dalam perlembagaan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment