Pages

Thursday, October 23, 2008

Rumah Terbuka Malaysia Sabtu Dan 2 Nov Ini

KUALA LUMPUR, 23 Okt -- Rumah Terbuka Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri akan diadakan di Padang Sungai Isap, Kuantan pada Sabtu ini manakala Rumah Terbuka sempena Deepavali pada 2 Nov depan di Brickfield di sini.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan akan meneruskan program tersebut kerana ia adalah satu budaya yang unik yang diamalkan di negara ini, tetapi aspek keselamatan akan ditingkatkan.

"Sesiapa pun tidak dihalang untuk hadir ke rumah terbuka, tapi diharap janganlah mencemar rumah terbuka ini dengan membuat perkara yang tidak elok, meluah perasaan. Hormatilah rumah terbuka, kita datang untuk beraya dan berkongsi kegembiraan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata majlis rumah terbuka Adilfitri yang bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan" diadakan di kawasan perkampungan bagi memaparkan keharmonian kehidupan sejagat di dalam sebuah kampung yang sederhana tetapi meriah serta sarat dengan warisan tradisinya berbanding susana berhari raya di kawasan bandar.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan berangkat ke majlis itu, yang akan turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Mohd Shafie berkata rumah terbuka Deepavali diadakan di Brickfield kerana memandangkan kawasan itu dipenuhi oleh kaum India dan merupakan satu tempat yang menjadi tumpuan masyarakat.

"Brickfield juga lokasi strategik ditambah dengan kemudahan pengangkutan awam di kawasan berdekatan dan ia memudahkan orang ramai untuk menghadirinya," katanya.

Beliau berkata majlis itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bakal diwarnai dengan pelbagai aktiviti menarik seperti acara gotong-royong menyediakan makanan, pertandingan anyaman, lukisan henna dan gubahan bunga malai secara kumpulan yang terdiri daripada pelbagai kaum.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini