SEPANG, 7 Okt (Bernama) -- Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, sedang meninjau laluan baru di Amerika, Eropah dan Afrika, susulan kejayaannya beroperasi di 11 negara Asean.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes berkata pelan laluan baru itu bukan suatu usaha yang mustahil, malah mendatangkan keuntungan bagi AirAsia pada masa depan memandangkan kadar pertumbuhan penumpang yang baik yang dicatatkannya dalam negara Asean seperti Indonesia dan Thailand.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila pelan itu dapat dilaksanakan.
Ditanya mengenai kadar pertumbuhan penumpang ketika pertumbuhan ekonomi yang perlahan, beliau berkata ia bergantung kepada berapa banyak kapal terbang baharu yang akan diterima oleh AirAsia tahun depan.
"Tahun depan, kami menjangkakan menerima sembilan pesawat Airbus baharu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis selamat tinggal kepada pesawat Boeing 737 AirAsia selebihnya yang membuat penerbangan terakhir dari Kota Kinabalu, Sabah, ke Terminal Penerbangan Tambang Murah, di sini, Selasa.
Beliau juga berkata AirAsia berada pada kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan sebarang situasi ekonomi, sambil menambah penjalanan udara kekal seperti sedia ada memandangkan orang ramai perlu membuat perjalanan dan syarikat penerbangan tambang murah menawarkan opsyen terbaik pada masa ini.
Fernandes enggan mengulas tentang pelan penswastaan untuk AirAsia.
Pada majlis itu, beliau juga memberikan penghargaan kepada Boeing, sambil menyatakan bahawa AirAsia bermula dengan dua pesawat Boeing 737 yang telah menjalankan perkhidmatan yang menakjubkan dan membawa AirAsia kepada kedudukannya sekarang.
Menggantikan Boeing 737 dengan pesawat yang lebih menjimatkan minyak, Airbus A320, merupakan satu langkah penting bagi usaha berterusan AirAsia untuk meminimumkan pelepasan karbon.
Di samping itu, penjimatan yang dibuat oleh AirAsia ke atas penggunaan bahan api akan dipindahkan dalam bentuk tambang murah kepada para pelanggannya, katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment