Pages

Monday, August 26, 2013

Serangan bom kereta di luar dua masjid di Lebanon


SERANGAN BOM: Orang ramai berkumpul di tempat kejadian letupan di luar Masjid Al-Taqwa di Tripoli, sebuah bandar di utara Lebanon, kelmarin, selepas berlakunya serangan bom kereta di luar dua masjid puak Sunni. - Foto AFP
BEIRUT (Lebanon): Pihak berkuasa Lebanon berkata perangkaan kematian ekoran dua serangan bom kereta di Tripoli, sebuah bandar di utara Lebanon, meningkat kepada 47 orang.
Polis Lebanon juga semalam berkata kira-kira 300 orang masih dirawat di hospital, dengan 65 daripada mereka dalam keadaan kritikal, berikutan letupan di luar dua masjid puak Sunni itu, kelmarin.
Letupan yang dirancang dalam kawasan bandar yang diduduki sebahagian besarnya puak Sunni itu telah meningkatkan lagi ketegangan di Lebanon ke paras lebih bahaya dan meningkatkan kebimbangan tentang kemungkinan negara itu terjerumus ke dalam satu kitaran serangan balas dendam antara puak Sunni dengan Syiah.

Letupan-letupan kelmarin adalah kejadian kedua yang berlaku di Lebanon dalam tempoh hanya lebih seminggu.
Satu serangan bom kereta yang sengaja disasarkan pada sebuah daerah yang sebahagian besarnya diduduki puak Syiah di selatan Beirut, yang dikuasai kumpulan Hezbollah, pada 15 Ogos lalu, telah membunuh 27 orang.
Serangan bom di Tripoli kelmarin - dianggap paling teruk pernah berlaku di Lebanon sejak perang saudara 1975-1990 - mengundang kecaman hebat daripada masyarakat antarabangsa.
Berlakunya kejadian itu hanya selang lebih seminggu selepas berlakunya serangan bom di kubu Hezbollah - sebuah pergerakan kumpulan Syiah - di Beirut, sekutu rapat Presiden Bashar al-Assad, membawa risiko meruncingkan lagi ketegangan antara para penyokong dengan penentang presiden Syria itu.
Dalam kejadian kelmarin, serangan bom pertama berlaku di kawasan tengah bandar Tripoli di luar Masjid Al-Salam ketika para jemaah melakukan solat di dalamnya.
Rakaman video sistem televisyen litar tutup (CCTV) yang disiarkan menerusi televisyen menunjukkan bahawa orang ramai sedang duduk di lantai masjid apabila letupan itu berlaku dan mencetuskan suasana panik di kalangan mereka.
Serangan bom kedua berlaku selang beberapa minit kemudian di Masjid Al-Taqwa, sekitar dua kilometer dari tempat pertama. - AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini