Pages

Friday, May 3, 2013

Saudi tahan warga Australia 18 bulan disyaki ada kaitan dengan militan


SYDNEY: Seorang warga Australia telah ditahan di Arab Saudi kerana disyaki mempunyai hubungan dengan rangkaian pengganas, demikian didedahkan oleh Menteri Luar, Encik Bob Carr, semalam.
Shayden Thorne, 25 tahun, telah ditahan di sebuah penjara di luar Riyadh sejak 18 bulan yang lalu.
Pemuda Australia itu dikatakan ditahan selepas komputer riba yang dipinjamnya dari sebuah masjid didapati mengandungi bahan-bahan yang berkaitan dengan gerakan pengganas.
"Setakat ini, itu sahaja maklumat yang kami perolehi mengenai penangkapannya," kata seorang jurucakap Encik Carr kepada agensi berita AFP.

Sementara itu, Encik Carr ketika bercakap dalam satu sidang media menegaskan, Australia mahukan isu tersebut diselesaikan dengan segera kerana ia kini telah berlanjutan selama 18 bulan.
"Saya tidak boleh katakan sama ada beliau bersalah atau tidak tetapi apa yang boleh saya kata ialah kami akan mewakilinya dalam kes ini," ujar menteri luar itu lagi.
Bagaimanapun, Encik Carr mengingatkan bahawa setiap warga asing tertakluk kepada peraturan dan undang-undang mana-mana negara yang mereka masuki.
Shayden telah memilih bermastautin di Arab Saudi selama 12 tahun dan undang-undang negara itu terpakai kepada sesiapa sahaja yang mengambil keputusan menetap di negara berkenaan, kata Encik Carr.
Dalam pada itu, saluran Australian Broadcasting Corporation (ABC) melaporkan yang adik Shayden, Junaid Muhammed Thorne, 23 tahun, telah turut ditangkap dan dipenjarakan selama beberapa bulan selepas memprotes penangkapan abangnya, sebelum dibebaskan kemudian.
"Apabila dia (Shayden) berjaya jumpa peguamnya, dia memaklumkan yang dia telah dipukul dengan teruk, dia disebat dengan wayar kabel dan bermacam-macam lagi jenis penderaan yang dialaminya," kata Junaid kepada ABC.
Encik Carr mengesahkan yang pasport Junaid telah disita oleh kerajaan Arab Saudi dan dia kini dalam persembunyian.
Kedua-dua saudara itu berasal dari Perth.
Encik Carr menegaskan sepanjang tempoh tahanan Shayden, pegawai kedutaan telah menziarahinya sebanyak enam kali dan mereka turut menghadiri tiga perbicaraan kesnya. - AFP.

No comments:

Posting Terkini