Pages

Friday, May 3, 2013

Lima warga Saudi maut akibat virus seakan Sars


RIYADH: Lima warga Arab Saudi telah meninggal dunia ekoran virus baru seakan Sars sejak beberapa hari yang lalu.
Dua lagi pesakit kini sedang dirawat di unit jagaan rapi di hospital setempat, kata Kementerian Kesihatan.
Dalam satu kenyataan Kementerian Kesihatan yang dilaporkan oleh agensi berita SPA lewat kelmarin, semua jangkitan melibatkan kematian dilaporkan berlaku di wilayah Ahsaa.
Virus yang dikenal pasti sebagai hCoV-EMC itu pada mulanya dikesan pada pertengahan 2012 dan dikatakan menyerupai virus Sars yang wabaknya tercetus 10 tahun lalu di timur Asia.
Virus Sars telah merebak dari haiwan kepada manusia.

Menurut Kementerian Kesihatan Arab Saudi, pihaknya akan mengambil "semua langkah yang sewajarnya jika seseorang itu mempunyai kontak dengan mereka yang telah dijangkiti... dan telah mengambil sampel daripada mereka bagi mengesan sama ada mereka juga telah dijangkiti."
Bagaimanapun, pihak kementerian tidak mendedahkan berapa ramai orang yang telah diperiksa bagi mengesan jangkitan itu.
Sejauh ini, 16 orang daripada 23 yang dijangkiti virus baru seakan Sars itu telah meninggal dunia di Arab Saudi, Jordan, Jerman dan Britain.
Riyadh mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 11 kes, dengan lima daripada mereka meninggal dunia.
Virus baru itu berbeza sedikit dengan Sars kerana ia turut menyebabkan kegagalan fungsi ginjal.
Pada Mac lalu, seorang lelaki Arab Saudi berusia 73 tahun meninggal dunia di Jerman akibat virus baru itu.
Beliau dikatakan telah melawat Pakistan dan Arab Saudi sebelum jatuh sakit.
Beliau kemudian dipindahkan ke Munich dari Abu Dhabi pada 19 Mac lalu sebelum meninggal dunia. - AFP.

No comments:

Posting Terkini