Hambar dan kurang menyengat mungkin gambaran sesetengah pemerhati yang tidak terlibat secara langsung dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang sudah memasuki minggu terakhir.
Bagaimanapun, kesibukan calon kini tentunya memasuki tahap maksimum memandangkan hanya tinggal lebih kurang enam hari lagi sebelum rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi pada 5 Mei ini,
Calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Parlimen Pokok Sena, Kedah, Datuk Mahfuz Omar, berkata kempen pilihan raya tidak perlu dipanaskan dengan menjaja cerita fitnah.
"Hari ini kita berpolitik, esok lusa kita jumpa di kedai-kedai kopi bersembang juga," ujar beliau.
Bagi Naib Presiden PAS, yang juga calon bagi kawasan Parlimen Pulai, di Johor, Encik Salahuddin Ayub, beliau percaya setiap calon tentunya mempunyai taktik tertentu dalam kempen masing-masing.
"Kita memang akan melakukan satu 'serangan' pada hari Khamis atau Jumaat dan saya percaya setiap pemimpin akan membuat 'serangan' nanti dengan menggunakan isu yang lebih besar, tunggu sajalah," katanya kepada Sinar Harian Online.
Walaupun siri kempen disifatkan tidak panas oleh sesetengah pihak, kempen PRU13 ini menyaksikan beberapa insiden yang tidak diduga sehingga menimbulkan kebimbangan awam.
Insiden pergaduhan di lokasi ceramah, pergaduhan sesama jentera ketika memasang bendera dan macam-macam lagi.
Tidak kurang hebatnya, terdapat juga pendedahan video lucah membabitkan pemimpin tertinggi parti yang bertanding yang tersebar semasa kempen.
Bagaimanapun, para pemimpin parti politik, lebih dilihat 'santai' daripada membangkitkan sebarang isu besar.
Ketua Penerangan Umno, yang juga calon BN bagi kawasan Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan, berkata walaupun ada yang mengatakan siri kempen kali ini tidak panas, "ia terus meningkat dalam masa enam hari lagi."
Bagi pemerhati politik pula, mereka merasakan kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang mula rancak menjalankan kempen mengetengahkan isu manifesto untuk dihidangkan kepada pengundi.
Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Azizuddin Mohd Sani, berkata kedua-dua parti dilihat teruja dalam menjalankan kempen walaupun masih awal.
Menurut beliau, calon-calon menggunakan waktu ini untuk membangkitkan isu-isu yang dekat dengan rakyat bagi menawan hati mereka.
Selain isu-isu nasional yang dibawa, senjata utama mereka kini ialah manifesto masing-masing.
Mengulas lanjut, Dr Azizuddin juga berkata BN dan PR menggunakan pendekatan berdasarkan pengalaman pada tsunami politik 2008.
Katanya, BN memfokus kepada penggunaan media sosial dan baru, manakala PR lebih giat berkempen rumah ke rumah bagi menghadapi PRU13.
"Cara berkempen tak banyak berubah, tetapi kita jelas lihat BN lebih banyak guna media sosial dan Pakatan Rakyat turun padang dan masuk kampung lebih efektik untuk berkempen kepada kelompok sasaran. Kedua-dua parti ini dilihat saling bertukar strategi antara satu sama lain," katanya.
Pengarah Pusat Kajian Koridor Utara (NCRC), Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Rohana Yusof, berkata siri kempen atau ceramah tersebut hanya menjadi panas jika ia dihadiri pemimpin besar dalam parti politik.
"Tokoh-tokoh utama itu termasuklah kehadiran (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) ke Sungai Petani baru-baru ini. Tapi, kita tak boleh terjemahkan jumlah kehadiran penonton kepada sokongan undi. Bagi BN pula, ia dijangka menggunakan lima hari terakhir ini dengan berkempen lebih agresif lagi," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment