Pages

Sunday, February 17, 2013

KWSP umum dividen 6.15% bagi tahun 2012


KUALA LUMPUR — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012.
Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, kadar tersebut adalah 15 mata asas lebih tinggi berbanding kadar 6 peratus yang dibayar pada tahun 2011.
"Ia juga mencatatkan rekod baharu berjumlah RM27.45 bilion yang diagihkan kepada anggota KWSP, meningkat 12.20 peratus daripada RM24.47 bilion yang dibayar pada tahun sebelumnya.
"Pada 2012 juga KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi sebanyak RM31.02 bilion meningkat 13.91 peratus berbanding 2011,” katanya.

Menurut beliau, pembayaran dividen tertinggi ini diperoleh setelah ditolak perbelanjaan pelaburan operasi, caj berkanun serta peruntukan rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan.
Katanya, walaupun persekitaran pelaburan semakin kompleks, KWSP mengekalkan momentum kenaikan yang stabil untuk merekodkan keputusan paling kukuh sejak awal milenium, disokong keberkesanan strategi pelaburan jangka panjang serta pendekatan berdisiplin dan berhemah.
Selain itu, beliau berkata, selaras dengan Alokasi Aset Strategik (AAA) yang diamalkan KWSP, sebahagian besar aset pelaburan KWSP terus dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah dan stabil.
Pelaburan ekuiti adalah 38.77 peratus daripada jumlah aset pelaburan pada 2012, manakala baki 3.59 peratus dan 2.42 peratus masing-masing diperuntukkan untuk instrumen pasaran wang dan hartanah dan infrastruktur, katanya. - BERNAMA

No comments:

Posting Terkini