BENTONG — Orang ramai diminta agar tidak membeli pendakap gigi menerusi Internet atau secara dalam talian, yang tidak diiktiraf pakar pergigian, kerana dipercayai mengandungi plumbum dan membahayakan pengguna.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, berdasarkan maklumat awal, pendakap gigi yang dijual secara online diperbuat daripada plumbum dan boleh menyebabkan kanser usus.
"Kita dapati pendakap gigi kini semakin popular, terutama di kalangan remaja, sebenarnya ia bukan berfungsi untuk mencantikkan gigi tetapi lebih kepada fesyen atau trend golongan muda masa kini.
"Sehubungan itu, saya berharap mereka yang ingin mencantikkan gigi supaya mendapatkan nasihat doktor dan menggunakan pendakap gigi yang diiktiraf oleh pakar pergigian terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas Bentong sempena Hari Warga Emas Peringkat Daerah Bentong hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang, Datuk Hoh Khai Mun.
Tiong Lai menjelaskan, kerajaan boleh menyekat atau mengawal penjualan pendakap gigi berkenaan di pasaran namun tidak boleh mengawal pembelian yang dibuat melalui Internet atau secara online. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment