KAHIRAH: Beberapa insiden pertempuran di Pelabuhan Said telah mengorbankan nyawa sekurang-kurangnya 31 orang rakyat Mesir.
Keganasan terus berlaku hingga awal pagi semalam di beberapa bandar Mesir, termasuk Kahirah, berikutan keputusan hukuman mati yang dikenakan ke atas 21 peminat bola sepak dalam satu kejadian merusuh, tahun lalu.
Pergolakan itu berlaku sehari selepas bantahan-bantahan terhadap Presiden Mohamed Mursi diadakan, yang mencerminkan perpecahan politik mendalam dan ketegangan berpanjangan di negara itu antara pihak polis dengan pembantah.
Kekecohan tercetus selang beberapa minit selepas sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas para peminat kelab Al-Masry dari Pelabuhan Said.
Mereka didapati bersalah kerana menyebabkan 74 orang terbunuh dalam keganasan selepas satu perlawanan bola sepak antara kelab tersebut dengan Al-Ahly dari Kahirah, Februari lalu.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Mesir, Encik Ahmed Omar, berkata 31 orang maut di Pelabuhan Said.
Di Kahirah, polis bertempur dengan para pembantah di kawasan pinggiran Dataran Tahrir - simbol lokasi pemberontakan yang menggulingkan bekas presiden, Encik Hosni Mubarak, pada 2011 - sambil menggunakan gas pemedih mata, kata para saksi.
Para pembantah juga menyekat Jambatan 6 Oktober, jejambat penting yang menghubungkan timur dan barat Kahirah, sedang polis dan pemberontak yang memakai topeng bertempur di jalan tebing Nil.
Ramai rakyat Mesir percaya bahawa rusuhan yang berlaku di stadium Pelabuhan Said pada tahun lalu telah dirancang oleh sama ada pihak polis atau para penyokong Encik Mubarak, dan apa sahaja keputusan sudah pasti mencetuskan reaksi keras.
Para peminat bola sepak 'Diehard' Kahirah yang digelar sebagai 'Ultras' telah mengancam membuat kacau jika keadilan tidak dilaksanakan.
Para penduduk Pelabuhan Said berkata keputusan itu bermotifkan politik.
Pihak Ultras adalah antara anggota paling lantang dan aktif dalam pihak pembangkang ketika revolusi anti-Mubarak.
"Pemerintah telah menyampaikan satu keputusan politik yang mengorbankan anak-anak kami untuk mengelakkan kekacauan," kata Encik Ashraf Sayyed, yang tinggal di Pelabuhan Said, kepada agensi berita AFP.
Sabtu lalu, para pembantah di Pelabuhan Said telah menyerang balai polis.
Saudara- mara mereka yang dijatuhi hukuman mati itu bertempur dengan pasukan keselamatan apabila mereka cuba merempuh masuk penjara Pelabuhan Said yang menahan pihak tertuduh. - AFP.
No comments:
Post a Comment