Pages

Sunday, January 27, 2013

Dataran Tahrir bergolak lagi


Rakyat Mesir anjur bantahan peringati ulang tahun kedua revolusi guling Mubarak
KEADAAN MASIH TEGANG: Seorang penunjuk perasaan antikerajaan cuba memadamkan api selepas polis rusuhan membakar khemah mereka di Dataran Tahrir di Kahirah, semalam. - Foto REUTERS

Rakyat Mesir anjur bantahan peringati ulang tahun kedua revolusi guling Mubarak
KAHIRAH: Rakyat Mesir semalam mengadakan bantahan antikerajaan secara besar-besaran sempena memperingati ulang tahun kedua revolusi yang telah mengguling bekas Presiden Hosni Mubarak.
Sekitar 16 orang dilaporkan cedera apabila penunjuk perasaan itu bertempur dengan polis di Dataran Tahrir.
Awal dari itu, para penunjuk perasaan melempar bom botol dan mercun bagi melepasi adangan ke dataran itu.
Polis antirusuhan bertindak balas dengan membaling semula bom botol itu, menyebabkan khemah penunjuk perasaan terbakar.

Kumpulan pembangkang telah menggesa agar tunjuk perasaan diadakan bagi menentang pemerintahan Presiden Encik Mohamed Mursi, dengan slogan sama yang membawa kepada kejatuhan Mubarak pada 2011.
"Roti, kebebasan, keadilan sosial. Berhimpunlah di dataran yang akhirnya mencapai objektif revolusi," kata pemimpin pembangkang, Encik Mohamed ElBaradei di akaun Twitternya.
Tunjuk perasaan turut dilaporkan di beberapa bandar lain, termasuk bandar Iskandariah.
Persaudaraan Muslim pula memperingati ulang tahun kedua kejatuhan rejim Mubarak dengan melancarkan kempen kebajikan dan sosial yang bertemakan "Bersama, kita akan membangunkan Mesir".
Encik Mursi dalam ucapannya kelmarin menggesa rakyat Mesir agar memperingati ulang tahun itu "dengan cara aman dan bertamadun".
Selang dua tahun, Mesir masih lagi dicengkam krisis politik dengan penentang Encik Mursi menuduh kumpulan Islamis mengkhianati matlamat revolusi yang telah membantu mereka mengambil alih kuasa.
Mesir juga masih dibelenggu krisis ekonomi, dengan pelaburan asing dan pendapatan pelancongan merosot dengan mendadak.
Lebih 36 gerakan politik telah menggesa agar bantahan antikerajaan diadakan semalam ekoran "kurangnya pencapaian yang dicatatkan oleh pemerintah baru".
Kelmarin, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, menggesa agar dialog aman diadakan sementara hak asasi kemanusiaan dihormati dalam peralihan politik di Mesir.
Jurucakap Encik Ban, dalam satu kenyataannya, berkata:
"Sedang rakyat Mesir memperingati ulang tahun kedua revolusi mereka, Setiausaha Agung ingin menyampaikan ucap selamat dan mengulangi komitmen PBB menyokong rakyat Mesir dan pemerintah dalam usaha mereka membangunkan masa depan yang lebih demokratik dan inklusif." - Agensi.

No comments:

Posting Terkini