- Foto AP
TOKYO: Lebih daripada 75,000 rumah terputus bekalan tenaga semalam setelah taufan kencang melanda pulau selatan Jepun, Okinawa, menyebabkan empat orang cedera.
Bagaimanapun Taufan Bolaven tidak menyebabkan kerosakan seteruk yang dijangka sebelum ia bergerak ke kawasan laut.
Para pegawai kaji cuaca telah memberi amaran bahawa Taufan Bolaven mungkin taufan paling kuat melanda rantau itu dalam masa beberapa tahun tetapi tiupan taufan itu tidak sekuat yang dijangka.
Sehingga awal pagi semalam pihak berkuasa bencana melaporkan tiada kerosakan besar yang berlaku akibat terputusnya bekalan elektrik.
Sekitar 75,000 rumah di Okinawa dan pulau Amami yang berdekatan tiada bekalan elektrik sedang hujan lebat dan angin kencang terus melanda semalam.
Banyak sekolah dan pejabat kerajaan ditutup akibat tiada bekalan elektrik.
Menurut pihak berkuasa, kebanyakan sistem pengangkutan, termasuk bas, kapal-kapal dan lapangan terbang, juga masih belum dapat beroperasi semula.
Pusat taufan yang bergerak perlahan itu melalui Okinawa lewat kelmarin dan bergerak ke kawasan barat laut ke Laut Timur China, semalam.
Agensi Meteorologi Jepun melaporkan sedang taufan itu bergerak ke arah Okinawa kelmarin, kelajuan angin dekat pusat taufan mencecah kelajuan sekitar 180 kilometer sejam dengan kelajuan angin tertinggi yang dicatatkan mencecah 252 kilometer sejam.
Kelajuan angin itu dipercayai menyamai atau melepasi rekod lama kelajuan angin di kawasan itu.
Pihak kaji cuaca menjangkakan taufan itu akan melanda kawasan pantai Korea Selatan hari ini.
Semalam, tadika dan sekolah rendah di kawasan selatan Korea Selatan sudah pun ditutup sedang negara itu bersedia menghadapi Taufan Bolaven.
Taufan itu bergerak dengan kelajuan 20 kilometer sejam ke arah Semenanjung Korea dan dijangka melanda Pulau Jeju lewat semalam dan tiba di bandar pelabuhan barat daya Mokpo, awal pagi ini. - Agensi.
No comments:
Post a Comment