KUALA LUMPUR 27 Ogos: Kartunis politik terkenal, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque akan mengadakan pameran kartun solo bertajuk “Zunar” bermula 1 hingga 9 September ini.
Ia bakal dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim jam 11.00 pagi pada hari pertama pameran berlangsung.
Menurut Zunar, sebanyak 150 buah karya, kesemuanya mengenai senario politik tanah air yang dihasilkan dari tahun 1999 hingga kini akan dipamerkan di Galeri Shah Alam.
“Ini adalah pameran pertama saya di tanah air. Sebelum ini saya membuat dua pameran di Bilbao, Sepanyol dan di London bertema “Berjuang Melalui Kartun”,” katanya pada kenyataan.
Beliau berharap dengan pameran tersebut, orang ramai boleh melihat sendiri hasil karyanya dengan lebih dekat dan memahami maksud dan mesej yang disampainya.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor dan Galeri Shah Alam kerana telah memberi sokongan bagi menjayakan pameran ini,” katanya.
Pameran ini dibuka setiap hari kepada orang ramai dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
No comments:
Post a Comment