Pages

Sunday, April 8, 2012

100 askar tertimbus salji


ISLAMABAD: Satu kejadian runtuhan salji meranapkan sebuah pangkalan tentera Pakistan di sekitar kawasan glasier Himalaya di sepanjang sempadan negara itu dengan India semalam, menyebabkan kira-kira 100 askar tertimbus dan sekurang-kurangnya 30 orang maut, kata pihak tentera.

Pasukan penyelamat dan pencari, terdiri daripada askar-askar, helikopter dan anjing-anjing penghidu, telah dikerahkan ke kawasan terpencil, Siachen Glacier, untuk tugas-tugas menyelamatkan mereka yang terperangkap, menurut satu kenyataan tentera Pakistan.

Kejadian salji runtuh itu meranapkan sebuah ibu pejabat batalion di sektor Gayari di kawasan glasier itu pada 5.45 pagi semalam, menurut seorang pegawai keselamatan yang tidak mahu mendedahkan namanya kerana beliau bukan jurucakap rasmi pihak tentera.



Siachen terletak di penghujung utara wilayah Kashmir, sebuah wilayah yang dibahagi dua menyusuli dakwaan oleh kedua-dua India dan Pakistan yang masing-masing mendakwa hak untuk mentadbir wilayah itu.

Kedua-dua negara itu, malah, telah meletakkan ribuan askar masing-masing di sana, yang terpaksa menempuh suhu sejuk, masalah ketinggian dan angin kencang selama berbulan-bulan setiap kali mereka bertugas di sana.

Askar-askar itu telah dikerahkan ke kawasan setinggi sehingga 6,700 meter dan bertempur sekali-sekala sejak 1984, walaupun kawasan tersebut agak sepi sejak adanya gencatan senjata yang dilaksanakan pada 2003.

Kawasan glasier itu terkenal sebagai medan pertempuran tertinggi di dunia.

Ibu pejabat tentera di Gayari itu adalah gerbang masuk utama, tempat laluan bagi askar-askar yang dikerah dan kiriman bekalan ke pangkalan terpencil lain di sektor tersebut. Ia terletak di sebuah lembah antara dua gunung tinggi, dekat sebuah hospital tentera, menurut seorang pegawai.

'Saya tidak faham bagaimana kejadian salji runtuh itu boleh sampai ke tempat itu,' kata seorang pegawai, yang enggan memberikan namanya kerana beliau tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan pihak media.

'Ia sepatutnya (sebuah tempat) selamat,' ujarnya.

Lebih ramai askar mati akibat keadaan cuaca yang teruk berbanding dengan kematian akibat pertempuran di kawasan glasier itu, yang tidak didiami sebelum askar-askar berkenaan dikerahkan ke sana.

Konflik di kawasan itu bermula pada 1984 apabila India menduduki kawasan tinggi glasier sepanjang 78 kilometer itu, kerana khuatir pihak Pakistan mahu menuntut wilayah tersebut. Pakistan kemudian mengerahkan juga askar-askarnya ke sana.

Kedua-dua tentera masih berkubu di sana walaupun gencatan senjata sedang berjalan, yang menelan belanja berjuta-juta dolar di kalangan dua negara yang dilanda kemiskinan itu. -- AP.

No comments:

Posting Terkini