Pages

Friday, March 16, 2012

Rakyat di luar negara diizin undi secara pos pada masa depan


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di luar negara diizin mengundi secara pos pada masa akan datang ekoran cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PAC).

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata pengundian seperti itu tidak dapat dijalankan jika Parlimen dibubar dalam tempoh terdekat kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan beberapa pindaan terhadap peraturan sedia.

'Seperti yang dinyatakan oleh SPR kepada kami, ia boleh dilakukan. Walaupun ada beberapa ahli PAC yang tidak bersetuju selaras dengan usaha mengurangkan pengundi pos, bagi keadaan yang tidak boleh dielakkan, (pengundian) perlu dilakukan secara pos juga,' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Parlimen kelmarin.


Dr Maximus berkata, tidak praktikal meletakkan peti undi di semua kedutaan kerana ia membabitkan pelbagai prosedur yang hanya akan merumitkan lagi keadaan.

'Bukan selalu rakyat kita di luar negara mengunjungi kedutaan, ada yang tinggal jauh dari kedutaan kita dan ada juga negara yang tidak mempunyai pejabat kedutaan Malaysia,' katanya.

Katanya, kebenaran mengundi secara pos selama ini hanya diberikan kepada kakitangan kerajaan dan penuntut Malaysia di luar negara.

'Selama ini hanya mereka saja yang diberi kebenaran itu. Dengan adanya keputusan ini, ia membolehkan siapa saja rakyat Malaysia di luar negara yang layak mengundi berbuat demikian.

'Kita ada hampir 2,000 rakyat Malaysia di luar negara yang layak mengundi,' katanya.

Menjawab soalan mengenai kebenaran mengundi secara pos bagi pengamal media, Dr Maximus berkata, semua pengamal media yang bertugas pada hari pengundian perlu memohon mengundi secara pos dan memperoleh surat pengesahan majikan sebagai bukti.

'Kebenaran itu hanya untuk pengamal media yang bertugas pada hari pengundian,' katanya. -- BHM.

No comments:

Posting Terkini