Friday, March 16, 2012
Obama: Tiada perubahan jadual undur dari Afghan
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, kelmarin berkata tiada perubahan mendadak yang akan dilakukan terhadap jadual pengunduran tentera negara itu dari Afghanistan.
'Saya tidak jangkakan membuat keputusan secara mendadak kepada rancangan yang kami sudah ada,' katanya semasa sidang media bersama Perdana Menteri Britain, Encik David Cameron, di Rumah Putih.
Encik Cameron berada di Amerika bagi satu lawatan kerja.
Buat pertama kali, Encik Obama juga mengatakan bahawa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) akan meneruskan proses peralihan daripada peranan yang dimainkan kini kepada memainkan peranan sokongan di Afghanistan tahun depan seperti yang telah dipersetujui sebelum pengunduran penuh menjelang penghujung 2014.
Namun, Encik Obama turut menyatakan rancangannya membawa pulang 23,000 askar pada musim panas ini akan tetap dilaksanakan dan keputusan lain pada masa depan bergantung kepada operasi menentang Taleban hujung tahun ini.
Beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini, termasuk pembunuhan orang awam Afghanistan oleh seorang askar Amerika Ahad lalu dan rasa jenuh rakyat Amerika terhadap isu peperangan telah menimbulkan spekulasi bahawa pengunduran askar Amerika dari Afghanistan akan dipercepatkan.
Kedua-dua pemimpin itu turut berkeras bahawa pengorbanan yang dilakukan tentera kedua-dua negara berbaloi dengan tertumpasnya rangkaian pengganas Al Qaeda.
Encik Cameron berpendapat bahawa apa yang cuba dilakukan menjelang 2014 adalah sesuatu yang mampu dilakukan.
'Kita tidak akan berputus asa dalam misi ini kerana Afghanistan tidak harus lagi menjadi kubu selamat bagi Al-Qaeda melancarkan serangan ke atas kita,' katanya.
Menambah kenyataan Encik Cameron itu, Encik Obama berkata misi itu akan diselesaikan dan ia akan dilakukan secara bertanggungjawab.
Pertemuan Encik Obama dan Encik Cameron berlaku hanya sejurus setelah kunjungan Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Leon Panetta, ke Afghanistan dicemari insiden keselamatan.
Dalam insiden itu, seorang penterjemah warga Afghanistan mencuri sebuah trak daripada seorang askar dan memandu trak itu ke arah sekumpulan anggota pasukan Marin Amerika, yang menanti kehadiran Encik Panetta di landasan kapal terbang, sedang kapal terbang Encik Panetta hampir mendarat di Camp Bastion, Afghanistan.
Kenderaan itu terbabas sebelum meletup dan dijilat api. -- AFP.
Labels:
antarabangsa,
Obama,
Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment