Pages

Monday, December 19, 2011

112 negara iktiraf Palestin sebagai negara merdeka


PARIS: Sekurang-kurangnya 112 negara di seluruh dunia secara rasmi telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka.

Menurut kiraan agensi berita AFP, Uruguay dan Peru muncul sebagai negara ke-11 dan ke-12 di rantau Amerika Latin yang mengiktiraf Palestin tahun ini.

Ini menjadikan Colombia, yang juga sekutu kuat Amerika Syarikat, sebagai satu-satunya negara Amerika Latin, yang belum berbuat demikian.

Di Amerika Tengah, Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka oleh Cuba, Costa Rica, Nicaragua, Honduras dan Salvador.

Palestin turut menerima pengiktirafan daripada negara-negara Arab, termasuk Syria, pada Julai lalu.


Iceland menjadi negara terbaru dari Eropah mengikuti langkah itu, selepas Republik Czech, Hungary, Malta dan Poland.Kira-kira 150 negara turut mengekalkan hubungan diplomatik dengan Palestin dalam satu atau pelbagai urusan.

Palestin sekarang hanya berstatus 'pemerhati' di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, Presiden Mahmoud Abbas pada September lalu mengemukakan permohonan rasmi bagi Palestin menjadi anggota penuh badan dunia itu.

Pada Oktober lalu Palestin secara rasmi diterima sebagai anggota Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Budaya Antarabangsa (Unesco) dalam satu kemenangan diplomatik, walaupun mendapat tentangan daripada Amerika dan Israel.

Awal minggu ini, Encik Abbas menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya menyokong usaha Palestin untuk diiktiraf PBB selepas bendera Palestin dikibar di ibu pejabat Unesco buat kali pertama.

Data yang diterbitkan oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menunjukkan 130 negara sehingga kini telah mengiktiraf Palestin.

Khamis lalu, Menteri Luar Palestin, Encik Riad Makli, berkata Palestin tidak akan berputus asa sekalipun permohonan kali pertamanya untuk menjadi anggota penuh PBB ditolak.

'Kali keempat, kita mungkin gagal dan kali kelima, kami akan gagal dan kami akan membuat permohonan lagi sehingga kami mencapai tahap apabila kami akan menang,' kata Encik Makli. -- AFP, AP.

No comments:

Posting Terkini