Pages

Friday, November 18, 2011

Sekolah diberi amaran agar bayar penuh bantuan RM100 kepada pelajar



KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada semua sekolah supaya tidak membuat sebarang pemotongan terhadap bayaran bantuan RM100 yang diberikan kerajaan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu berkata wang yang diperuntukkan dalam Bajet 2012 itu perlu disalurkan kepada pelajar atau ibu bapa pelajar dalam jumlah yang penuh tanpa sebarang pemotongan.

'Saya nak nyatakan, ia seharusnya dilakukan. Nanti akan timbul salah faham sedangkan ia bukan kami (kementerian) yang lakukan,' katanya di sini, kelmarin.


Pada sesi dialog sebelum itu, seorang bapa pelajar sebuah sekolah di Setiawangsa di sini menyatakan kekesalan dan mendakwa anaknya hanya menerima RM50 dengan sebahagian lagi dipotong untuk tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sebanyak RM550 juta diperuntukkan kerajaan dalam Bajet 2012 bagi bantuan kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk sekolah swasta.

Tan Sri Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pentadbir sekolah yang membuat pemotongan.

'Sekalipun pihak sekolah mahu membuat potongan, mereka perlu berbincang dengan PIBG dan wang RM100 itu perlu diserahkan semuanya tanpa sebarang potongan.

'Ini baru hujung tahun, belum lagi masuk awal tahun, saya harap sekolah yang terbabit menyerahkan semula wang yang sudah dipotong dan tidak ada lagi sekolah yang berbuat demikian,' katanya.

Beliau menegaskan bahawa pembayaran bantuan itu adalah komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban hidup rakyat dan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

Sementara itu, di Putrajaya, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, berkata ibu bapa yang mempunyai kesulitan menuntut wang bantuan persekolahan RM100 itu minggu ini masih dibenarkan mendapatkannya selepas tempoh itu.

Sambil menolak dakwaan kononnya wang itu akan dipulangkan kepada kerajaan jika ia tidak dituntut dalam minggu ini, beliau berkata bantuan berkenaan akan tetap dikeluarkan pada masa lain, termasuk ketika cuti sekolah kerana ia adalah hak pelajar. -- BHM.

No comments:

Posting Terkini