Pages

Friday, February 4, 2011

Demo anti-Mubarak: 7 ditahan polis

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh orang awam ditahan polis kerana menyertai perarakan menghantar memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat disini hari ini.
Dua daripada mereka ditahan di Jalan Tun Razak selepas selesai daripada menghantar memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat kira-kira 2.50 petang tadi.
Manakala yang lain ditahan di bangunan Tabung Haji disini kerana dilihat melakukan provokasi selepas trak FRU melepaskan pancutan air kepada orang awam yang berehat di kaki lima gerai makanan.
Mereka yang ditahan adalah Mohd Ismath Habib, Mohd Adnin Zainal, Hafizuddin Kamaruddin, Mohd Salman Zainal, Mohd Shairawi Zainal, Mohd Noor Hadi Ariffin dan Zainal Dewa.

Ketua Polis Daerah IPD Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman ketika ditemui pemberita berkata, tujuh yang ditahan itu dibawa trak polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi disini.
“Mereka ditahan kerana enggan mengikut arahan polis supaya bersurai walaupun kami sudah beberapa kali memberi amaran,” katanya.
Sementara itu, peguam daripada Lawyers for Liberty Fadiah Nadwa Fitri berkata pihaknya akan ke IPD Dang Wangi untuk memberi bantuan guaman kepada mereka yang ditangkap.
Keadaan trafik di Jalan Tun Razak kembali lancar seperti biasa selepas orang ramai yang menyertai perarakan itu bersurai kira-kira empat petang.
Kira-kira 1,000 rakyat berarak dan mengadakan perhimpunan aman di Kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah kekejaman rejim Presiden Mesir Hosni Mubarak.
Perarakan itu disertai orang awam, beberapa pemimpin dan penyokong badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik Pakatan Rakyat.
Mereka berkumpul selepas menunaikan solat Jumaat di depan perkarangan Masjid As-Syakirin di KLCC kira-kira pukul 2.15 petang.
Pelajar IPTA
Sementara itu, FMT difahamkan dua penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) merupakan antara tujuh yang ditahan polis kerana menyertai perarakan menghantar memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat tengahari tadi.
Fadiah berkata, sehingga jam 9 malam, pihaknya masih menunggu untuk mendapatkan maklumat tentang keadaan tujuh yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi disini, namun polis masih tidak membenarkan mereka berjumpa.
“Mereka ditangkap dan dibawa ke IPD Dang Wangi sejak pukul 4.30 petang tadi.
“Jika mereka ditahan dan dikenakan dakwaan, kita akan memberikan bantuan guaman tetapi sehingga sekarang kami masih tidak dapat sebarang maklumat daripada polis.
“Mereka ini hanya orang awam yang sudah pun beredar daripada Kedutaan Amerika Syarikat selepas memorandum diserahkan tetapi polis tetap melakukan tangkapan,” katanya.
Peguam lain yang turut berada di IPD Dang Wangi ialah Latheefa Koya dan Naib Presiden PKR N Surendran

No comments:

Posting Terkini