Pages

Friday, February 4, 2011

1,000 berarak bantah rejim Hosni Mubarak

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 rakyat berarak dan mengadakan perhimpunan aman di Kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah kekejaman rejim Presiden Mesir Hosni Mubarak.

Perarakan itu disertai orang awam, beberapa pemimpin dan penyokong badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik Pakatan Rakyat.
Mereka berkumpul selepas menunaikan solat Jumaat di depan perkarangan Masjid As-Syakirin di KLCC kira-kira pukul 2.15 petang.
Memegang sepanduk dan melaungkan “Undur Mubarak” dan “Bebaskan Mesir”, penyokong kemudiannya mula bergerak secara berkumpulan menuju keluar ke Jalan Ampang.

Perjalanan diteruskan lagi sejauh satu kilometer menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat melalui Jalan Tun Razak untuk menyerahkan memorandum duta AS.
Kira-kira 200 polis dan unit simpanan polis persekutuan (FRU) mengawal keadaan disetiap pinggir jalan.
Kumpulan tersebut tiba di Kedutaan AS kira-kira setengah jam kemudian.
Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan kemudiannya menyerahkan memorandum itu kepada Pegawai Keselamatan Kedutaan AS David Benn.
Pelajar Malaysia di Mesir
Kandungan memorandum itu antaranya menuntut Hosni berundur serta merta, mahukan Amerika menggesa Hosni meletakkan jawatan, serta menggesa kerjasama daripada persatuan dan pertubuhan antarabangsa yang lain membantu rakyat Mesir.
Sehingga berita dilaporkan, kumpulan pertama pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir hari ini berjaya dibawa keluar dari Kaherah pada pukul 3 petang semalam waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) ke Jeddah.
Kumpulan itu yang terdiri daripada 356 orang pelajar termasuk seorang bayi, berjaya dibawa keluar menerusi pesawat Boeing 747 milik Malaysia Airlines (MAS).
Kesemua pelajar tersebut kini ditempatkan sementara di asrama Tabung Haji di Jeddah.
Pemindahan pelajar selain menggunakan pesawat milik MAS, ia juga turut mendapat kerjasama AirAsia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.
Sejak 28 Januari lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

No comments:

Posting Terkini