Pages

Friday, November 18, 2011

Tunjuk perasaan jika Thaksin diberi keampunan



BANGKOK: Penentang Encik Thaksin Shinawatra, semalam berkata mereka akan mengadakan bantahan jika kerajaan meluluskan perintah pengampunan diraja yang turut menyenaraikan bekas Perdana Menteri itu.

Perikatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) berkata, pengampunan itu akan membenarkan Encik Thaksin bebas tanpa menerima sebarang hukuman.

'Kami telah pun katakan bahawa kami akan mengadakan tunjuk perasaan jika pengampunan diberikan kepada Thaksin,' kata jurucakap PAD, Encik Panthep Pongpuapan.

Jika diluluskan oleh Parlimen, perintah itu akan memberi pengampunan kepada semua pesalah yang berusia 60 tahun ke atas dan menghadapi hukuman penjara kurang daripada tiga tahun.


Encik Thaksin, 62 tahun, dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas didapati bersalah menyalahgunakan kuasa kerana membantu isterinya membeli tanah milik kerajaan semasa beliau menjadi Perdana Menteri pada 2003.

Beliau telah melarikan diri ke luar negara pada Julai 2008 dan sejak itu beliau hidup dalam buangan dengan kebanyakan masanya dihabiskan di Dubai.

Encik Thaksin sebelum ini telah berikrar tidak akan menjalani hukuman penjara walau sehari pun kerana sabitan kesalahan yang didakwanya sebagai bermotif politik.

Perintah pengampunan diraja yang dicadangkan itu adalah sempena hari ulang tahun kelahiran ke-84 Raja Bhumibol Adulyadej pada 5 Disember ini.

Encik Panthep berkata, mereka yang sebelum ini menerima pengampunan diraja biasanya perlu mengaku bersalah dan menghabiskan sedikit masa dalam penjara.

'Thaksin harus menerima hukuman,' katanya.

Ketika ditemui wartawan semalam, Timbalan Perdana Menteri Chalerm Yubamrung, yang ditanya sama ada pengampunan itu dikhususkan untuk Encik Thaksin, berkata:

'Kerajaan tidak melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang dan tidak berbuat demikian semata-mata untuk seorang individu.'

Mengulas, Encik Thaksin yang ditemui di Dubai lewat kelmarin berkata Kabinet hanya membincangkan pengampunan diraja yang memang dilakukan setiap tahun, dan bukan pengampunan khusus untuk beliau. - Reuters

No comments:

Posting Terkini