Sunday, November 13, 2011
Asia akan terus maju jika China membangun
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata Asia akan terus maju dalam tempoh 10 tahun dan selepas itu dengan syarat China terus membangun dan hubungannya dengan dunia terus berkembang.
Encik Lee berkata demikian dalam sesi dialog semasa pembukaan Sidang Puncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Honolulu, Hawaii, Amerika Syarikat.
Dalam sesi selama sejam yang melibatkan pemimpin perniagaan dari seluruh dunia itu, para peserta mengemukakan pelbagai soalan mengenai kebangkitan China dan kesannya terhadap dunia.
Encik Lee berkata Singapura akan berkembang bersama rantau ini tetapi sebagai negara kecil, ia perlu turut mengambil kesempatan peluang dan perkembangan yang berlaku di peringkat global.
Justeru, antara langkah yang perlu diambil ialah membangunkan industri yang memerlukan pengetahuan, seperti dalam bidang kewangan dan farmaseutikal selain menarik bakat asing ke negara ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pemerintah tetap memberi penekanan dalam membangun tenaga kerja setempat.
'Sekiranya kita berjaya, saya fikir kita boleh mencipta pelbagai peluang bagi rakyat, bukan sahaja di peringkat atasan malah merangkumi setiap lapisan masyarakat, kerana sekiranya anda mahu meningkatkan taraf hidup seluruh penduduk, anda tidak boleh bergantung kepada kebajikan.
'Anda perlu bergantung kepada rakyat yang produktif, berkemahiran, mempunyai imaginasi, berupaya mempelajari pekerjaan baru dan melakukan perkara baru sepanjang kerjaya mereka sehingga sekurang-kurangnya dalam lingkungan 60-an tahun,' tambahnya.
Dengan perubahan demografi dan meningkatnya kelas pertengahan, Encik Lee berkata terdapat banyak peluang perniagaan yang boleh direbut di Asia.
Namun, tegasnya, penduduk yang lebih berpendidikan dan asertif turut membawa cabaran lain kepada pemerintah.
'Kita adalah sebuah pulau kecil. Kita perlukan banyak kemudahan, kita perlu perhentian bas, kita perlu pusat jagaan kanak-kanak, kita perlu membina hospital masyarakat di beberapa bahagian di pulau ini.
'Semua penduduk perlukan kemudahan ini, tetapi sekiranya anda letakkannya di sesuatu kejiranan, penduduk di situ akan bertanya 'bolehkah anda letakkanya di kejiranan berhampiran? Tidak terlalu jauh tetapi tidak terlalu dekat kerana ia boleh menjejas nilai hartanah, tambahan ia bising dan menyusahkan.
'Dan saya memahami sentimen ini tetapi pada masa yang sama, sekiranya tiada sesiapa yang mahu meletakkannya di kejiranan mereka, kemudahan itu tidak dapat dibangunkan.
'Lantas, inilah keadaannya di Singapura. Di China juga keadaannya sama. Anda lihat tunjuk perasaan membantah kilang petrokimia, membantah projek pemerintah... saya tidak mahu ia berlaku di sini!' jelas Encik Lee lagi.
Beliau berkata pemerintah perlu membuat penyesuaian, dan dapat memberi respons wajar kepada tekanan rakyat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment