Pages

Tuesday, March 22, 2011

MENJELANG PILIHAN RAYA SARAWAK

Semua parti komponen BN dijangka serah nama calon


KUCHING: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka menyerahkan senarai penuh calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri tidak lama lagi kepada Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, minggu ini.

Beberapa pemimpin parti komponen yang dihubungi Berita Harian Malaysia kelmarin memberi tahu bahawa mereka sudah mempunyai senarai lengkap bakal calon bertanding dan terpulang kepada Tan Sari Abdul Taib untuk membuat penilaian terakhir.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata mereka tidak menghadapi masalah dan bersedia bila-bila masa menyerahkan senarai calon itu.


'Jika perlu hari ini (kelmarin) pun boleh, tetapi tidak perlu saya jelaskan kepada anda siapa calon kami selain penyandang yang ada sekarang.

'Senarai calon yang akan kami serahkan kepada Pengerusi BN negeri adalah mereka yang terbaik dan anda tunggu saja,' katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS), Encik Wilfred Nissom, berkata tujuh calon penyandang parti berkenaan sudah ditetapkan tetapi pihaknya belum memutuskan dua lagi calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus dan Ngemah.

Beliau berkata PRS dijangka menyerahkan senarai calon itu kepada Abdul Taib, esok, tetapi ia bergantung kepada senarai bagi dua kawasan terbabit.

'Seperti yang dijelaskan Presiden (Datuk Seri Dr James Jemut Masing) sebelum ini, tujuh calon penyandang dikekalkan, cuma calon bagi dua kawasan masih dalam perbincangan,' katanya.

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan Ikom, pula berkata walaupun sebelum ini beliau pernah mengumumkan semua lapan penyandang dikekalkan, pihaknya akan menghantar nama lain untuk diteliti pucuk pimpinan BN.

Beliau berkata SPDP mahu pucuk pimpinan BN membuat keputusan sama ada mengekalkan penyandang atau memilih muka baru bagi memastikan kemenangan 100 peratus parti itu pada 2006 dikekalkan pada pilihan raya kali ini.

'Memang saya sudah mengumumkan untuk mengekalkan semua penyandang tetapi kami tidak tahu keputusan saat akhir yang dibuat oleh pucuk pimpinan BN, sebab kami menghantar lebih daripada lapan nama.

'Kami akan menyerahkan senarai calon itu kepada Pengerusi BN negeri minggu ini, tetapi belum menetapkan harinya,' katanya. -- Berita Harian Malaysia.

No comments:

Posting Terkini