Monday, November 14, 2011
'Ada wartawan Indonesia ambil rasuah'
JAKARTA: Demi ganjaran wang berjuta-juta rupiah, segelintir wartawan Indonesia didakwa sanggup menyiarkan laporan tidak tepat atau berat sebelah.
Bertambah parah, bagi menjaga kepentingan pihak yang menawarkan sogokan itu, wartawan- wartawan terbabit sanggup mereka cerita, termasuk isu-isu melibatkan politik, undang-undang dan ekonomi.
Amalan buruk itu didedahkan seorang wartawan yang mahu dikenali hanya sebagai Danu Pratama (bukan nama sebenar) kepada akhbar Jakarta Globe, kelmarin.
Danu, yang sudah tujuh tahun bekerja sebagai wartawan, berkata dengan melakukan pekerjaan itu beliau dapat mengaut upah antara 7.5 juta rupiah ($1,071) hingga ratusan juta rupiah.
Beliau menjelas bahawa sogokan itu mengambil kira sejauh mana kepentingan sesuatu isu itu didedahkan, sumber yang membiaya dan sebesar mana dakwaan mahu diperbesar atau dimanipulasi sama ada di media cetak atau elektronik serta media baru.
'Saya tidak melakukannya (menerima sogokan) sendirian kerana jika hanya saya seorang, ia nampak terlalu ketara.
'Biasanya saya akan melakukannya bersama rakan-rakan. Semuanya lima wartawan dan saya bertindak sebagai penyelaras dan berurusan dengan sumber yang memerlukan khidmat kami,' kata Danu sambil mendakwa kerja itu turut diamalkan oleh wartawan daripada organisasi media yang kononnya dianggap 'bersih' dan mempunyai kewibawaan.
Pendedahan Danu turut menarik perhatian seorang wartawan kanan tempatan yang mengakui budaya 'menyogok' wartawan menjadi sebahagian daripada amalan dalam kerjaya kewartawanan di Indonesia.
'Bahkan, sesetengah pejabat pemerintah dan syarikat swasta menyediakan peruntukan kepada pihak media yang kononnya disebut sebagai 'elaun kenderaan',' kata pengerusi Gerakan Wartawan Bebas Indonesia (AJI), Encik Nezar Patria.
Beliau mendakwa pihak-pihak yang menyokong budaya negatif itu lazimnya mempunyai senarai nama wartawan yang selalu membuat liputan acara mereka dan mereka dibayar 250,000 hingga satu juta rupiah.
'Kebiasaannya yang menerima wang itu terdiri daripada wartawan yang bekerja di organisasi media yang tidak mempunyai kewibawaan kredibiliti atau syarikat yang menawarkan gaji kecil,' dakwa Encik Nezar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment