Pages

Monday, August 29, 2011

Ketua kedua Al-Qaeda dikatakan terbunuh di Pakistan


WASHINGTON: Para pegawai Amerika Syarikat dan Pakistan berkata ketua kedua Al-Qaeda, Atiyah Abd al-Rahman (gambar), telah mati terbunuh di Pakistan, satu tamparan besar bagi kumpulan pengganas itu yang Amerika percaya sedang diambang kekalahan.

Sejak serangan Navy Seals ke pekarangan kediaman Osama bin Laden berjaya membunuh ketua Al-Qaeda itu pada Mei lalu, pentadbiran Presiden Barack Obama agak terbuka dalam penilaiannya bahawa Al-Qaeda sedang berada di ambang kekalahan, dengan pihak kepimpinan kumpulan itu kini kucar-kacir.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Leon Panetta, bulan lalu berkata kekalahan Al-Qaeda berada dalam genggaman Amerika jika mereka dapat terus melakukan beberapa serangan yang berjaya.

'Kini masanya, berikutan apa yang berlaku pada Osama, bagi memberi tekanan ke atas mereka,' kata Encik Panetta, 'kerana saya percaya jika kita teruskan usaha kita boleh melumpuhkan Al-Qaeda sebagai satu ancaman besar.'


Seorang warga Libya, Atiyah tidak pernah mendapat pengiktirafan meluas di dunia seperti Osama atau ketua Al-Qaeda sekarang, Ayman al-Zawahiri.

Namun, Atiyah dianggap seorang tokoh penting dalam kumpulan pengganas itu, yang dipercayai oleh Osama untuk menyelia operasi harian Al-Qaeda.

Apabila pihak Navy Seals menyerang kediaman Osama, mereka menemui bukti pelibatan Atiyah dalam mengendalikan operasi Al-Qaeda.

Pentadbiran Encik Obama kini lebih yakin tetapi berhati-hati terhadap kemenangannya ke atas kumpulan pengganas itu.Sejak kematian Osama, para pegawai antipengganasan berharap mengambil kesempatan terhadap keadaan kepimpinan Al-Qaeda yang kucar-kacir.

Ayman yang mengendalikan kumpulan itu ketika ini dianggap seorang tokoh yang memecahbelahkan dan kekurangan karisma sebagaimana pengasasnya.

'Ayman memerlukan pengalaman dan hubungan Atiyah bagi membantunya menguruskan Al-Qaeda,' kata seorang pegawai Amerika yang enggan mendedahkan namanya.

Atiyah terbunuh pada 22 Ogos lalu di wilayah puak Waziristan, di Pakistan, menurut seorang pegawai kanan pentadbiran Amerika atas syarat namanya tidak didedahkan.

Seorang pegawai risikan Pakistan pula berkata Atiyah terbunuh dalam satu serangan misil Amerika di kampung Machi Khel di utara Waziristan. -- AP.



No comments:

Posting Terkini