Monday, July 18, 2011
Obama sambut Dalai Lama, tidak hirau protes China
WASHINGTON: Sambil tidak menghirau protes China, Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, menyambut lawatan Dalai Lama ke Rumah Putih sambil menggesa agar dihormati perjuangan hak asasi dan budaya tradisi di Tibet.
China dengan segera mengemukakan bantahannya dan mendakwa Encik Obama cuba merosakkan hubungan antara dua ekonomi paling besar di dunia itu dengan menemui pemimpin kerohanian Tibet itu, yang hidup dalam buangan sejak lebih setengah abad yang lalu.
Rumah Putih, bagaimanapun, tidak terlalu menonjolkan pertemuan Encik Obama dan Dalai Lama.
Ia kemudian mengeluarkan gambar Encik Obama, yang tidak memakai tali leher, mendengarkan dengan teliti penjelasan sami yang memakai jubah itu.
'Presiden mengulangi lagi sokongan kukuhnya bagi pemuliharaan tradisi keagamaan, budaya dan linguistik unik Tibet dan rakyat Tibet di seluruh dunia,' kata Rumah Putih dalam kenyataannya itu.
'Beliau menggariskan kepentingan melindungi hak asasi rakyat Tibet di China,' katanya mengenai pertemuan kedua-dua pemimpin itu selama 44 minit di sebuah bilik sulit, yang dinamakan sebagai Map Room.
Rumah Putih tidak membenarkan wartawan mengikuti mesyuarat kedua-dua pemimpin itu dan mengumumkannya selang beberapa jam sebelum Dalai Lama mengakhiri lawatan 11 hari ke Washington.
Kedua-dua anak perempuan Encik Obama - Malia dan Sasha - sekali sekala datang ke bilik itu untuk menemui Dalai Lama, menurut sumber yang tahu mengenai rundingan itu.
Rumah Putih menekankan bahawa kedua-duanya Amerika dan Dalai Lama menerima Tibet sebagai sebahagian daripada China, tetapi Beijing mendesak bahawa Dalai Lama menggalak perpecahan dan mahu memperluas popularitinya di seluruh dunia.
China semalam memanggil seorang pegawai kedutaan Amerika, Encik Robert Wang.
Kementerian luarnya menggesa Amerika agar 'berhenti bersubahat dan menyokong pihak pemisah anti- China yang mahukan kebebasan Tibet'.
'Tindakan sedemikian secara terang-terangan mencampuri ehwal dalaman China, mencederakan perasaan rakyat China dan merosakkan hubungan China-Amerika,' kata Jurucakap Kementerian Luar China, Encik Ma Zhaoxu, menurut laporan agensi berita Xinhua News.
Stesen televisyen China pula tidak menyebut langsung tentang rundingan Dalai Lama di Washington tetapi menonjolkan liputan Presiden Hu Jintao menyambut beberapa anggota golongan muda dari Amerika. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment