Pages

Wednesday, July 27, 2011

Bayaran letak kereta di Melbourne dan Sydney antara termahal di dunia


SYDNEY: Sydney dan Melbourne adalah antara bandar yang mempunyai kadar meletak kereta paling mahal di dunia, demikian menurut hasil satu kajian yang dikeluarkan semalam, sedang kedua-dua bandar Australia itu menggalak penduduknya supaya meninggalkan kereta masing-masing di rumah.

Tinjauan Kadar Meletak Kereta Antarabangsa Colliers mendapati bandar Oslo, di Norway, adalah lokasi paling mahal bagi meletak kereta dengan kadar bayaran setinggi AS$89.04 ($107.60) sehari.

Ini diikuti bandar Copenhagen, Denmark, dengan kadar bayaran meletak kereta sebanyak AS$73.11 sehari, kemudian Melbourne dengan bayaran AS$69.53 sehari dan Sydney pada kadar AS$67.42 sehari.


Ibu kota Indonesia, Jakarta, mempunyai kadar bayaran meletak kereta paling murah dalam senarai 156 bandar di seluruh dunia, dengan bayaran sebanyak AS$0.92 sehari.

Pengarah Negara Colliers, Cik Nerida Conisbee, berkata cukai majlis perbandaran dan pemerintah telah menaikkan kos di kebanyakan kawasan pusat bandar (CBD) di beberapa bandar di Australia.

'Di CBD Sydney dan Melbourne, pihak majlis perbandaran secara aktif mencegah orang ramai daripada memandu ke bandar,' kata beliau, sambil menambah bahawa nilai dolar Australia yang kukuh turut meningkatkan kos relatif meletak kereta.

Awal bulan ini, tinjauan kos kehidupan Unit Risikan majalah The Economist Intelligence, yang dijalankan setiap dua tahun sekali, menunjukkan Sydney dan Melbourne kini adalah bandar keenam dan ketujuh paling mahal di dunia.

Ia mengaitkan punca kenaikan kos kehidupan itu dengan nilai mata wang dolar Australia yang semakin kukuh. -- AFP.



No comments:

Posting Terkini