Pages

Wednesday, July 27, 2011

Minuman 'Barbican' halal diminum


Itulah rumusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 16 hingga 18 Jun lalu berhubung isu minuman ringan buah-buahan, Barbican, yang mencetuskan kegemparan berikutan dakwaan kandungan alkohol melebihi jumlah dibenarkan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Shukor Hussin, berkata selepas berbincang dan meneliti beberapa keputusan muzakarah sebelum ini berkaitan alkohol dalam makanan dan minuman serta ubat-ubatan, pihaknya membuat keputusan minuman tersebut dan beberapa jenis lain yang diproses bukan bertujuan membuat arak boleh diminum.

Menurutnya, alkohol yang terkandung dalam minuman tersebut juga bukan terhasil daripada proses pembuatan arak serta dengan kadar sedikit dan tidak memabukkan adalah dibolehkan.


'Justeru, orang ramai khususnya masyarakat Islam tidak perlu ragu dengan status minuman ini kerana ia sudah diputuskan halal,' katanya dalam sidang media, kelmarin.

Tan Sri Abdul Shukor berkata, pihaknya mendapati kandungan alkohol dalam Barbican adalah kurang daripada 0.01 peratus iaitu pada kadar dibenarkan bagi produk akhir sebanyak 0.05 peratus, sekali gus tidak mendatangkan kesan yang memabukkan jika diminum.

Menurutnya, dibantu pakar Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM), jawatankuasa merumuskan bukan semua alkohol itu adalah arak.

'Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya hukumnya tidak najis dan boleh dimakan atau diminum.

'Manakala yang mengandungi bahan perisa atau pewarna mengandungi alkohol untuk penstabilan adalah boleh digunakan sekiranya ia tidak dihasilkan menerusi proses pembuatan arak dan kuantiti dalam produk akhir tidak melebihi 0.5 peratus,' katanya. -- Harian Metro.

No comments:

Posting Terkini