JAKARTA: Jurulatih skuad kebangsaan K Rajagopal, kini lebih mesra dipanggil "Pak Raja" bukan sahaja menjadi selebriti di Malaysia tetapi juga di Indonesia.
Bekas pemain antarabangsa itu digelar "Pak Raja" oleh media Indonesia dan beliau kini dilayan seperti seorang selebriti sejak Malaysia membuat kejutan melayakkan diri dalam final Kejohanan Bolasepak Persekutuan Asean (AFF).
Ahad lalu, Rajagopal dan anak buahnya menggegam sebelah tangan mereka pada Piala Suzuki selepas menewaskan Indonesia 3-0 dalam final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Skuad negara mengambil penerbangan jam 9.10 pagi semalam untuk ke Jakarta untuk menghadapi pasukan tuan rumah dalam final kedua esok bermula jam 8.00 malam.
Jurulatih dan anak buahnya disambut sebagai hero setelah menuruni pesawat MH711. Kapten pesawat mengumumkan pasukan Malaysia berada dalam penerbangan dan mengucapkan selamat berjaya dalam kejohanan yang tidak pernah dimenangi sejak 1996.
Rajagopal kelihatan tenang tetapi berhati-hati kerana merasai debaran 90 minit perlawanan lagi yang sedang menanti.
"Kita tiba di kemuncak kejohanan"
"Kita tiba di kemuncak dalam kejohanan ini dan saya tidak mahu menghampakannya. Kita akan fokus dan melakukan apa yang perlu dalam final kedua Piala Suzuki ini," katanya.
Beliau berkata, "sudah pasti, kita tidak akan berpuas hati dengan tiga gol dan membiarkan mereka menyerang dan menyumbat gol."
Beberapa penumpang yang berada dalam penerbangan yang sama mengucapkan tahniah kepada Rajagopal dan pemain-pemainnya di atas permainan cemerlang Ahad lalu untuk mengalahkan Indoneia, yang membelasah Malaysia 5-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan 1 Disember lalu.
Para pemain kelihatan keletihan dan kebanyakannya tidor semasa penerbangan yang memakan masa lebih dua jam itu.
Setiba di lapangan terbang Soekarno-Hatta di Jakarta, mereka disambut oleh sekumpulan kecil penyokong Malaysia (kebanyakannya pelajar) sambil mengibar bendera "Jalur Gemilang" dan membawa sepanduk.
- thestar
No comments:
Post a Comment