Pages

Tuesday, July 12, 2011

2 Adun BN diperintah keluar dewan

SHAH ALAM, 12 Julai: Akibat tidak tahu peraturan dan tidak mendengar arahan Speaker, Ketua Pembangkang, Satim Diman dan Adun Kuang, Abdul Shukor Idrus diperintah keluar dewan petang ini.

Dalam kes Shukor, hukuman berlaku selepas beliau gagal memahami peraturan dewan yang tidak membenarkan menggunakan nama Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Sultan Selangor untuk mempengaruhi dewan.

Ketika itu, Shukor bangun mengambil bahagian dalam perbahasan usul mengenai Bersih 2.0 yang dikemukakan Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Speaker, Datuk Teng Chang Khim menegur Shukor mengenai ucapan yang mengaitkan dua nama di atas dan enggan duduk bila Speaker menerangkan peraturan dewan.

Malah ketika Teng bercakap, Shukor seakan-akan menjerit mempersoalkan tindakan Speaker yang menghalang beliau.

Lebih parah, beliau mengeluarkan perkataan kurang sopan iaitu Speaker bodoh, semua Adun PR bodoh dan membaling kertas yang dipegangkan.

Melihat kepada keadaan Adun Umno itu yang sudah hilang kawalan minda, Speaker tiada jalan lain melainkan menjatuhkan hukuman terhadap Shukor.

Bermula dengan kesilapan beliau kaitkan nama Agong dan Sultan, kemudian tidak mahu mendengar teguran dan tidak duduk ketika Speaker bercakap, beliau tidak dibenarkan hadiri dewan selama tiga hari bermula hari ini.

Teng menggunakan Peraturan Tetap 44 hukuman tidak boleh hadir dewan selama tiga hari kerana kesalahan di bawah Peraturan Tetap 36 (7).

Dalam sesi pagi, Ketua Pembangkang, Satim Diman juga diperintahkan keluar selama sehari kerana kes sama iaitu degil tidak mendengar arahan Speaker.

Satim hanya sempat duduk tidak sampai dua jam kerana baharu sahaja tiba di dewan pada jam 11 pagi sedangkan dewan bermula jam 10 pagi.

Dalam isu Shukor, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei bangun meminta Speaker menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap Shukor atas sikapnya.

"Saya harap Speaker menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap Adun yang bersikap kurang ajar tadi," tegasnya.

Namun Speaker menjawab, selain bertegas menjatuhkan hukuman tiga hari itu, sikap memaafkan orang yang jahil juga perlu dilakukan.

"Kita perlu bertegas mengenakan hukuman terhadapnya namun kita juga wajar mengamalkan sikap kebesaran memaafkan orang yang jahil," tegas Teng.



No comments:

Posting Terkini