Pages

Tuesday, April 26, 2011

Isu SNAP, diserah kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat


KEADILAN akan menyerahkan kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, berhubung cadangan penyertaan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) ke dalam Pakatan Rakyat mahu pun penggabungan dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Pengarah Stategi dan Politik KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, sebarang keputusan tidak boleh dibuat oleh satu pihak, tetapi perlu dibincangkan dengan teliti secara bersama.

“Kita akan membawakan perkara ini ke atas, kerana ia tidak boleh dibincangkan di peringkat parti sahaja, tetapi perlu diajukan ke platform Pakatan Rakyat,”  katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana, hari ini.
Menurutnya, sekretariat Pakatan Rakyat akan bermesyuarat esok bagi membincangkan perkara itu.
Terdahulu sebelum itu, Rafizi memberikan pandangannya mengenai hasrat penggabungan parti oleh pemimpin tertentu yang perlu diberikan perhatian serius.
Ini berikutan keputusan yang diambil SNAP sebelum ini yang bertindak menyaingi Pakatan Rakyat, sehingga berlaku pertembungan 3 penjuru di kerusi terutamanya yang ditandingi KEADILAN.
Mengakui sebagai pemimpin ‘junior’, Rafizi berkata beliau sanggup menerima kritikan sekiranya pandangannya dilihat sebagai tidak menyenangkan.
“Seseorang perlu mengatakan berkenaan perkara ini. Saya tidak nampak penggabungan ini akan memberikan satu lonjakan sokongan yang mendadak pada peringkat  jentera di bawah,” ujarnya.
Menurutnya, sekiranya SNAP memainkan peranan yang lebih adil seperti yang dirundingkan sebelum ini, KEADILAN tidak perlu untuk bertanding di 49 kawasan DUN pada Pilihan Raya Sarawak yang lalu.
“KEADILAN boleh menumpukan kepada 25 buah kawasan asal yang dipersetujui. Tetapi SNAP bertanding di kawasan yang mana wujud kekuatan jentera dan calon-calon KEADILAN,” ujarnya.



No comments:

Posting Terkini