Pages

Monday, March 21, 2011

Satelit Barat intip tapak terpencil di padang pasir Libya


WASHINGTON: Satelit-satelit 'pengintip' Barat sedang memantau dengan teliti sebuah garaj kecil di sebuah tapak terpencil di kawasan padang pasir Libya, menyusuli serangan Amerika Syarikat dan sekutu- sekutunya di Eropah di negara itu, kata satu laporan akhbar The Washington Post, lewat kelmarin.

Akhbar itu mendakwa pemerintah Libya menyimpan sekitar 10 tan gas mustard dalam setengah dozen kanister besar dalam garaj itu, yang terletak ke selatan bandar Sirte.

Para pegawai Barat bimbang pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, mungkin menggunakan bahan kimia kaustik itu untuk membunuh sebilangan besar rakyatnya, kata laporan itu.

Kuasa-kuasa Barat melancarkan serangan udara dan peluru berpandu ke atas Sirte lewat kelmarin, kata agensi berita Jana yang dimiliki oleh pemerintah negara utara Afrika itu.


'Serangan udara dan peluru berpandu ditujukan ke arah beberapa sasaran orang awam di Zuwarah, Tripoli, Sirte dan Benghazi,' dalam serangan di sepanjang kawasan pantai dari barat ke timur Libya, kata seorang jurucakap tentera, yang dipetik oleh laporan Jana itu.

Kuasa-kuasa Barat kelmarin melancarkan serangan udara dan laut terhadap tentera Encik Gaddafi di bawah resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menguatkuasakan gencatan senjata berikutan pertempuran antara penyokong Encik Gaddafi dengan mereka yang menentangnya sejak sebulan yang lalu.

Encik Gaddafi dilaporkan dilahirkan dalam sebuah khemah puak Arab Badwi di Sirte, sebuah bandar Mediterranean sekitar 360 kilometer ke timur Tripoli.

Namun, belum ada apa-apa yang membahayakan yang telah dilihat di Sirte sejauh ini, kata The Washington Post.

Bagaimanapun, bahan-bahan kimia itu menjadi tumpuan kebimbangan bekas pegawai Libya dan beberapa pemimpin Eropah yang khuatir Encik Gaddafi mungkin mencari jalan menggunakan gas tersebut untuk menakut-nakutkan penduduk Benghazi, tegas akhbar itu.

Sementara itu, tentera udara dan laut Amerika, Britain dan Perancis terus menyerang Libya dengan peluru berpandu Tomahawk dan serangan udara awal pagi semalam.

Ini mencetuskan kemarahan Encik Gaddafi, yang mengisytiharkan kawasan Mediterranean itu sebagai 'medan pertempuran'.

Encik Gaddafi, dalam satu pesanan audio ringkasnya melalui stesen televisyen Libya, mengutuk serangan-serangan itu sebagai 'pencerobohan kejam, tidak wajar kaum Salibi'. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini