Friday, March 18, 2011
Kemampuan Jepun mula disangsi
TOKYO: Kesangsian terhadap keupayaan Jepun menangani krisis nuklearnya bertambah semalam apabila helikopter mula digunakan untuk menyiram air di satu loji nuklear yang sudah terlalu panas dan semakin banyak pemerintah asing menggesa warga mereka agar meninggalkan Tokyo.
Empat helikopter tentera Chinook menyertai misi mengangkat untuk dijiruskan ke atas kemudahan nuklear yang rosak akibat gempa bumi besar dan tsunami Jumaat lalu itu.
Operasi itu bagi membenamkan batang bahan api dalam reaktor-reaktor dan kolam-kolam penyimpannya dalam air bagi mengelakkan bahan api itu hancur apabila terdedah kepada udara dan mengeluarkan bahan radioaktif berbahaya.
Pada masa yang sama, pasukan jurutera Jepun menumpukan perhatian kepada pemulihan bekalan elektrik ke loji bermasalah itu untuk menggerakkan kembali sistem penyejukannya agar tidak berlaku peleburan nuklear.
Bekalan tenaga ke loji Nombor 1 Fukushima di pantai Pasifik, kira-kira 250 kilometer ke timur laut Tokyo, boleh dipulihkan sebahagiannya semalam, kata agensi keselamatan nuklear negara itu.
'Apabila kerja pemulihan ini selesai, kami boleh menghidupkan beberapa pam elektrik dan menyiram air ke dalam reaktor-reaktor dan kolam-kolam simpanan itu bagi menyejukkan bahan api nuklear yang digunakan,' kata seorang jurucakap Tokyo Electric Power Co kepada AFP.
Sedang pekerja loji cuba mengelakkan peleburan nuklear, banyak pemerintah asing menggesa warga mereka supaya keluar dari kawasan-kawasan terjejas teruk di timur laut negara itu dan Tokyo.
'Jika anda berada di Tokyo atau di wilayah-wilayah terjejas... kami nasihatkan anda harus keluar,' kata Menteri Luar Australia, Encik Kevin Rudd.
Britain menasihati rakyatnya supaya meninggalkan Tokyo atau timur laut Jepun walaupun pegawai Britain berkata masih belum ada 'isu kesihatan yang nyata'.
Pihak berkuasa Perancis pula berkata mereka sedang menghantar dua kapal terbang pemerintah bagi membantu warga Perancis yang hendak meninggalkan Jepun.
Pegawai-pegawai Amerika Syarikat telah menasihati warganya yang tinggal dalam lingkungan 80 kilometer dari loji nuklear Fukushima itu supaya berpindah atau mendapatkan perlindungan.
Pemerintah Jepun meminta penduduk yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer di luar lingkungan penghalang 20 kilometer di sekeliling loji itu supaya jangan keluar rumah.
Lebih 200,000 orang telah pun dipindahkan dari zon penghalang itu.
Jerman, Italy dan Belanda juga telah menasihati rakyat mereka agar keluar dari Jepun atau mengelakkan kawasan di timur laut negara itu.
Pengerusi Suruhanjaya Pengawalan Nuklear Amerika, Encik Gregory Jaczko, memberi amaran bahawa kolam tenaga nuklear yang digunakan di reaktor keempat loji itu sudah kehabisan air dan paras radiasi kini 'terlampau tinggi'. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment