Pages

Friday, March 18, 2011

Mufti: Bible dalam bahasa Melayu dilarang diedar di Selangor


KUALA LUMPUR: Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid, berkata sekitar 5,000 kitab Bible berbahasa Melayu akan dilarang pengedaran di negeri itu kerana tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah 'Allah' dalam kitab suci Kristian itu, lapor laman berita TV Selangor.

Datuk Tamyes sekali gus mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, bahawa tindakan kerajaan Malaysia memansuhkan penahanan naskhah kitab Bible berbahasa Melayu tidak sah di sisi undang-undang syariah di Selangor.

Laman berita Malaysiakini semalam menukil satu laporan TV Selangor memetik Mufti Selangor itu sebagai berkata kebimbangan utama pihaknya terhadap arahan kerajaan pusat menarik balik penahanan itu ialah kesannya ke atas generasi muda umat Islam.


'Saya tetap berpandangan bahawa memang sewajarnya (pengedaran kitab Bible itu) dihalang kerana terjemahannya mengandungi kalimah 'God' yang diterjemahkan kepada 'Allah' (dan) ini adalah bahaya dan mengelirukan kepada anak-anak muda khususnya,' katanya kepada TV Selangor.

Sebanyak 10 negeri, kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, mempunyai undang-undang syariah yang menghalang penggunaan kalimah 'Allah' itu, sama ada secara lisan ataupun bertulis.

Selain 5,000 naskhah di Pelabuhan Kelang, penahanan 30,000 naskhah kitab Bible yang sama di Kuching turut ditarik balik, mengikut pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, Selasa lalu.

Sementara itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) kelmarin berkata langkah kerajaan Malaysia mengeluarkan kitab Bible dalam bahasa Malaysia yang dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kuching dan Pelabuhan Klang adalah keputusan bijak dan tidak wajar dihalang penggunaannya.

Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir, berkata pihaknya tiada halangan dengan keputusan terbaru kerajaan Malaysia itu kerana bahasa Malaysia milik semua rakyat Malaysia, termasuk yang beragama Kristian.

'Ia bagus, bagi saya ia tiada masalah dan saya juga boleh baca kitab Bible itu kalau ada. Kita di Malaysia ini bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi dan rakyat kita terdiri daripada pelbagai latar belakang... ada yang Islam, ada yang Kristian, ada yang Buddha dan ada yang Hindu dan banyak lagi.

'Jadi kenapa kita perlu halang mereka dari gunakan bahasa Malaysia dalam bukubuku mereka, sebenarnya ia memang tiada masalah, kalau boleh terjemahkan dalam semua buku agama dalam bahasa Malaysia,' kata beliau ketika dihubungi laman berita The Malaysian Insider.

Menurutnya, bahasa Malaysia sepatutnya tidak dipolitikkan atau dibahaskan, termasuk penggunaannya dalam kitab Bible.

'Saya positif dalam perkara ini, bila ada dalam bahasa Malaysia orang Islam boleh baca dan boleh buat perbandingan dengan Al-Quran. Bahasa inikan perantara jadi ia bukannya isu. Jadi kenapa mesti diperbesarkan.

'Sebagai contoh, Al-Quran, ia telah diterjemahkan dalam banyak bahasa... bukan hanya bahasa Malaysia tapi bahasa-bahasa lain,' katanya.

Beliau menjelaskan penggunaan bahasa Malaysia dalam kitab Bible itu tidak memberikan sebarang kesan terhadap Islam, yang merupakan agama rasmi Malaysia.

'Bukan ia itu boleh jejaskan Islam, sebaliknya ia memudahkan penganut Kristian yang tak faham bahasa Inggeris faham apa yang ada dalam buku itu. Jadi buat apa nak sekat, kalau ia ada beri kesan kepada Islam itu lainlah,' kata Datuk Sheikh Abdul Halim.

No comments:

Posting Terkini