Pages

Tuesday, February 1, 2011

Mangsa banjir di Melaka dan Pahang bertambah

KUANTAN: Mangsa banjir di tiga daerah di Pahang meningkat kepada 800 orang hari ini berbanding 538 orang yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan petang semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, sebanyak 17 perkampungan di daerah Rompin, Raub dan Bentong terjejas akibat banjir manakala Maran yang turut terjejas semalam
telah kembali pulih selepas 55 mangsa dibenarkan pulang.
“Mangsa di daerah Rompin mencatatkan bilangan tertinggi seramai 476 orang daripada 118 keluarga diikuti Raub 229 mangsa daripada 54 keluarga dan Bentong 95 mangsa daripada 27 keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan banjir berkata, beberapa jalan di Bera dan Rompin ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air setinggi 1.5 hingga dua meter.
Katanya, jalan-jalan tersebut ialah Jalan Ladang Hwali, Jalan Ladang Trading, Jalan Kampung Baru Bukit Ibam, jambatan Sungai
Gayung, jambatan Kampung Lubuk Batu di Rompin; jalan alternatif Kampung Pasal ke Felda Palong 8 dekat Muadzam Shah.
Sementara itu, di Melaka jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Melaka yang ditempatkan di 31 pusat pemindahan meningkat kepada 4,545 orang sehingga pukul 8 pagi ini berbanding 2,889 orang pada pukul 9 malam tadi.
Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata daerah Alor Gajah menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,163 orang daripada 504 keluarga di 10 pusat pemindahan.
Di Jasin, jumlah mangsa yang ditempatkan di 14 pusat pemindahan ialah 1,254 orang daripada 309 keluarga manakala di daerah Melaka Tengah melibatkan 1,128 orang daripada 258 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Cuaca dilaporkan cerah dan tiada hujan dilaporkan pada sebelah pagi ini di seluruh negeri ini.  Jurucakap itu berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan sejak pukul 9 malam tadi hingga 8 pagi ini.
Beliau berkata bantuan seperti makanan dan minuman telah dihantar ke pusat pemindahan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala agensi lain seperti tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam pemindahan mangsa banjir.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam sedang melawat mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan tersebut bagi memastikan keperluan mereka  mencukupi.
Jalan raya yang ditutup kepada semua kenderaan hanya di jalan Taman Merdeka, jalan Angkasa Nuri dan jalan Pasar Borong, yang kesemuanya terletak di Batu Berendam di sini. – Bernama

No comments:

Posting Terkini