Saturday, January 22, 2011
Peniaga jual 'santan' campur air dan tepung
KUALA LUMPUR: Krisis kekurangan bekalan kelapa di pasaran diambil kesempatan segelintir peniaga licik yang sengaja mencampurkan air paip dan tepung bagi menipu pengguna yang menyangka santan dibeli adalah segar.
Difahamkan, penipuan terancang itu dilakukan segelintir peniaga yang cuba meraih keuntungan sebanyak mungkin.
Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur, Encik Othman Nawang, berkata taktik itu dibongkar selepas pihaknya mengesan tindakan dua peniaga yang melakukan penipuan berkenaan di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, di sini, Selasa lalu.
'Sebanyak 10 premis menjual santan dipantau dan disiasat petugas KPDNKK sebelum mendapati dua premis itu mencurigakan,' katanya.
Beliau berkata, salah sebuah premis milik seorang warga Indonesia didapati mencampurkan air dan sejenis tepung putih yang digunakan khusus untuk memekatkan kandungan cecair santan yang diperah.
'Dalam pemeriksaan mengejut itu, pemilik premis berusia 30-an tahun itu tidak dapat memberikan maklumat jenis serbuk tepung yang digunakan untuk memekatkan santan berkenaan.
'Ketika diajukan soalan, peniaga berkenaan hanya mendakwa serbuk putih berkenaan adalah ubat pekat tanpa mengetahui apa sebenar kandungan kimia di dalamnya.
'Paling dibimbangi jika tepung berkenaan adalah bahan pengawet yang boleh memudaratkan pengguna,' katanya.
Berdasarkan siasatan, santan campuran itu dijual dengan harga hampir separuh lebih murah daripada harga pasaran iaitu kira-kira RM3 ($1.26) sekilogram. -- Harian Metro.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment