Pages

Saturday, January 22, 2011

Wanita yang dakwa 'tarik emas' di alam ghaib ditahan


KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia yang mendakwa mampu 'menarik emas' daripada alam ghaib dan mempunyai kira-kira 20 pengikut membabitkan lelaki muda dan tampan dicekup di rumahnya di Taman Meru Empat, Klang, awal pagi kelmarin.

Ketika ditahan sepasukan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu pada sekitar 3 pagi, wanita berkenaan didapati sedang mengurut seorang pengikutnya di ruang tamu rumah mereka.

Seorang daripada anggota SRS yang enggan dikenali berkata ketika tangkapan dibuat, seorang lagi pengikut wanita berusia 40-an itu berada dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah.


'Ketika diserbu, dua lelaki muda turut berada di dalam rumah, seorang daripada mereka ditangkap ketika diurut wanita itu.'Seorang lagi yang berada di dalam bilik cuba melarikan diri menggunakan pintu belakang, namun ditahan pihak kami yang terlebih awal mengepung rumah itu,' katanya.

Menurut beliau, sebelum serbuan dilakukan, mereka menghubungi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).Namun, penguat kuasa jabatan itu tidak hadir walaupun sudah berkali-kali dihubungi.

'Berikutan itu, wanita berkenaan dan dua lelaki dibawa ke Balai Polis Meru. Kami dimaklumkan pada 10 pagi tadi (kelmarin) baru anggota Jais datang. Namun kami agak kecewa kerana selepas disoal siasat kira-kira satu jam, wanita itu dan dua lelaki terbabit dibebaskan. Kami keliru mengapa dia tidak terus ditahan sedangkan kami diberitahu bahawa pas lawatan sosial milik wanita itu sudah tamat tempoh,' katanya.

Kisah wanita yang dipanggil Kak Emi atau Ibu oleh pengikutnya itu disiarkan akhbar Harian Metro pada 11 Januari lalu kerana dia dikatakan ligat memancing pemuda tampan berusia 20-an tahun untuk dijadikan pengikutnya bagi dilatih menjadi ejen perbuatan khurafat 'menarik emas' daripada alam ghaib.

Wanita berkenaan dikatakan menjalankan kegiatan penipuan itu sejak empat tahun lalu di sekitar Lembah Klang.Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan Jais, Encik Shahrom Maarof, berkata:

'Lazimya, mereka bukan dibebaskan sewenang-wenangnya, tetapi dengan bon jaminan dan dipanggil semula ke pejabat Jais bagi membolehkan Jais merekodkan siasatan terperinci yang bertujuan melengkapkan siasatan, sebelum mereka boleh didakwa berdasarkan enakmen jenayah yang melibatkan terdakwa.' - Harian Metro.

No comments:

Posting Terkini