Pages

Friday, September 24, 2010

Ada kemungkinan jutawan kosmetik dirogol

Sampel darah dan air mani diambil lagi daripada lapan suspek bagi ujian DNA


KUALA LUMPUR: Sampel darah dan air mani lapan lelaki yang disyaki terbabit dalam pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya diambil bagi ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin.

Difahamkan sampel air mani diambil bagi menyiasat maklumat baru kemungkinan Datuk Sosilawati turut dirogol.

Pengambilan sampel semua suspek itu adalah yang kedua selepas kali pertama diambil minggu lalu berikutan penemuan beberapa petunjuk baru dalam siasatan kes tersebut.

Menurut sumber, proses itu sebahagian daripada prosedur operasi standard polis Malaysia, khusus bagi memperlengkap kertas siasatan kes tersebut bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

Kesemua suspek tiba di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL sekitar 3 petang menaiki sebuah trak polis yang diiringi dua kereta peronda polis.

Mereka kemudian dilihat keluar dari pekarangan itu dan meninggalkan hospital sekitar 5 petang dengan dikawal ketat anggota polis yang menggiring mereka.

Datuk Sosilawati, 47 tahun, pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages, dibunuh kejam bersama pemandunya, Encik Kamaruddin Shansuddin, 44 tahun; peguamnya, Encik Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 tahun; dan perunding kewangannya, Encik Noorhisham Mohammad, 38 tahun, di sebuah ladang persendirian di Morib, Banting, Selangor, pada 30 Ogos lalu.

Semua mangsa dilaporkan diikat, dipukul dan ditikam sampai mati sebelum mayat mereka dibakar serta abunya dibuang ke dalam beberapa sungai berhampiran.

Berikutan itu, polis menahan lapan suspek berusia 19 hingga 41 tahun, termasuk dua wanita, bagi membantu siasatan.

Sementara itu, waris Datuk Sosilawati dan tiga rakannya yang dibunuh akan memfailkan saman RM20 juta ($8.5 juta) terhadap semua suspek kes itu.

Peguam Kamaruddin Ahmad berkata tuntutan itu mengambil kira kesan dan trauma dihadapi semua waris, termasuk anak-anak masih kecil, serta kehilangan tempat bergantung.

'Tragedi ini menyebabkan suami kehilangan isteri, isteri kehilangan suami, anak-anak kehilangan ibu dan bapa yang boleh mendatangkan kesan jangka panjang yang teruk.

'Oleh itu, jumlah tuntutan ini dirasakan wajar, setimpal kesan dialami mereka yang disifatkan sebagai amat dahsyat, termasuk dari segi emosi, bagi satu tempoh lama,' kata beliau.

Tuntutan itu boleh dibuat mengikut peruntukan di bawah Undang-Undang Sivil. -- BHM.

No comments:

Posting Terkini