Saturday, August 21, 2010
Sambutan Aidilfitri pada 9/11 membimbangkan
WASHINGTON: Masyarakat Islam di Amerika Syarikat bimbang pertindihan antara tarikh berakhirnya Ramadan dan ulang tahun tragedi 11 September menyebabkan umat Islam dikritik kerana menyambut serangan pengganas yang berlaku pada 2001.
Tahun ini, sambutan Aidilfitri, yang menandakan berakhirnya bulan puasa, jatuh pada 11 September (9/11) di Amerika.
Sesetengah kumpulan bimbang kebetulan itu akan menambah kecurigaan dan permusuhan terhadap umat Islam ketika sentimen negatif mereka sudah memuncak.
Sebelum ini, Presiden Barack Obama dikritik hebat kerana menyokong rancangan pembinaan sebuah pusat komuniti Islam berhampiran tempat kejadian serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September, 2001 atau Ground Zero.
Masyarakat Islam Amerika Utara (ICNA) mengambil keputusan menangguhkan hari keluarga yang pada awalnya dijadualkan diadakan pada 11 September kerana menghormati mangsa dan saudara-mara mereka.
Pengasasnya, Encik Tariq Amanullah, bekerja di WTC dan meninggal dunia akibat serangan itu.
Majlis Hal Ehwal Umum Islam, kumpulan penyokong berpusat di Los Angeles, dilaporkan menghubungi polis memaklumkan mengenai tarikh pertindihan itu dan menggesa masjid memperbaiki pengawasan dan keselamatan di premis mereka.
Encik Ibrahim Hooper, daripada Majlis Hubungan Islam-Amerika, berkata setiap individu dan masyarakat bebas untuk menyambut Aidilfitri.
Namun, mereka mungkin mengubah cara sambutan Aidilfitri kerana tarikhnya begitu dekat dengan tarikh 9/11.
'Saya tidak fikir mereka akan mengubah cara sambutan. Aidilfitri adalah acara bersolat dan meraikan kemenangan berpuasa. Kami sentiasa memberitahu masjid supaya memeriksa keselamatan apabila perasaan fobia Islam memuncak.
'Mereka sengaja mencari dan mencipta pelbagai alasan untuk menyelar Islam dan ini adalah satu daripadanya,' katanya.
Encik Haroon Moghul, pengarah sebuah badan Islam, berkata:
'Jika Aidilfitri jatuh pada ulang tahun hari berkenaan, ia akan menjadi satu tugas sukar kepada umat Islam di New York.
'Ramai jemaah akan tersentuh pada hari itu, mungkin secara peribadi berikutan kehilangan orang tersayang dalam kejadian terbabit.' - Agensi.
Labels:
antarabangsa,
Hari Raya,
Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment