NEW YORK: Penduduk Islam di Lower Manhattan, New York, berkata mereka bukan mahu berkonfrontasi dengan golongan yang menentang pembinaan sebuah masjid baru dekat tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Sebaliknya, mereka hanya memerlukan tempat ibadat yang selesa kerana selama ini mereka terpaksa bersolat di ruang bawah tanah yang sesak atau di tepi-tepi jalan.
Sebilangan penduduk New York yang masih terkesan dengan serangan 11 September 2001 menentang rancangan untuk membina sebuah pusat kebudayaan Islam dan masjid di tapak yang terletak dua blok daripada lokasi runtuhan WTC.
Protes berasingan oleh mereka yang menyokong dan menentang projek tersebut dirancang diadakan pada hari ulang tahun kesembilan serangan itu.
Terperangkap dalam kontroversi itu ialah penduduk Islam yang bekerja di pusat bandar Manhattan dan memerlukan ruang untuk mengerjakan solat.
'Awak tahu berapa ramai umat Islam di kawasan ini? Pada setiap Jumaat, jalan di sini penuh sesak dan kami mendapat kelulusan polis untuk mendirikan sekatan jalan,' kata seorang konsultan Encik Saad Madaha, 32 tahun.
Beliau, yang berasal dari Ghana, mengerjakan solat di Masjid Manhattan - berupa ruang bawah tanah yang sempit di bawah sebuah kelab malam.
'Saya ingin melihat sebuah masjid yang nampak seperti masjid. Saya ingin bersolat dengan penuh khusyuk tanpa muzik memekakkan telinga,' kata Encik Madaha.
Sesetengah penduduk Islam berkata, mereka faham mengapa projek masjid itu mendapat tentangan daripada golongan tertentu dan mereka menyokong usaha Gabenor New York, Encik David Paterson untuk memindahkannya ke lokasi kurang kontroversi.
Namun, yang lainnya, seperti Encik Madaha menyifatkan pemindahan sebagai satu penghinaan.
'Jika mereka memindahkannya, bagi saya langkah itu satu tamparan kepada agama,' katanya.
Pusat Islam yang bakal dibina itu tidak akan mempunyai reka bentuk seperti masjid biasa.
Sebaliknya, bangunan setinggi 13 tingkat itu akan mempunyai reka bentuk seperti bangunan biasa, tanpa simbol bulan sabit.
Selain, dewan solat, bangunan itu akan menempatkan auditorium, kolam renang dan bilik mesyuarat. -- Reuters.
Saturday, August 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment