Pages

Wednesday, August 18, 2010

Pentagon: China perluas keupayaan tentera atasi Taiwan

WASHINGTON: China telah meluaskan kelebihan ketenteraannya mengatasi Taiwan dan sedang membangun pasukan yang mempunyai keupayaan untuk melancar serangan di Asia dan sejauh jajahan Amerika Syarikat di Guam, lapor Pentagon.

Dalam laporan tahunan kepada Kongres, Jabatan Pertahanan Amerika berkata China sedang meningkatkan pelaburan dalam pelbagai bidang termasuk senjata nuklear, peluru berpandu jarak jauh, kapal selam, kapal induk dan perang siber.

'Imbangan kekuatan ketenteraan rentas Selat masih berterusan memihak kepada tanah besar China,' kata laporan tersebut.

Pentagon berkata pembangunan ketenteraan China di Selat Taiwan 'masih berterusan tanpa henti' meskipun terdapat kemajuan dalam hubungan politik dan perdagangan sejak pemilihan Presiden Taiwan, Encik Ma Ying-jeou, yang berbaik-baik dengan China pada 2008.

Kemajuan ekonomi dan teknologi China membolehkan negara itu melaksanakan perubahan besar pada tenteranya, kata laporan itu.

'Trend semasa dalam keupayaan ketenteraan China merupakan faktor utama yang mengubah imbangan ketenteraan di Asia Timur dan membolehkan China melancarkan beberapa operasi di Asia lebih jauh daripada Taiwan,' tambah laporan itu.

Pakar strategi China kini cuba meluaskan pencapaian tentera agar dapat menyerang sasaran sejauh Guam, sebahagian besar Jepun dan Filipina.

Menyusuli laporan itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Taiwan, Encik Yu Sy-tue, menggesa Amerika menjual sistem senjata canggih kepada Taipei, termasuk pesawat pejuang F-16 C/D dan kapal selam diesel.

Menurutnya meskipun Presiden Ma Ying-jeou berusaha memperbaiki hubungan, 'China tidak pernah menolak kemungkinan menggunakan kekerasan ke atas Taiwan'. -- AP, AFP.





No comments:

Posting Terkini