Pages

Wednesday, August 18, 2010

Iran ikrar bertindak balas jika Israel serang loji nuklear

TEHERAN: Iran akan bertindak balas jika Israel menyerang loji kuasa nuklearnya yang pertama, yang bakal memuatkan bahan bakar pada 21 Ogos ini, kata Menteri Pertahanannya, Encik Ahmad Vahidi.

'Jika ia berlaku, kami akan kehilangan sebuah loji kuasa, tetapi kewujudan Israel dalam bahaya,' kata beliau seperti ditukil agensi berita Mehr.

Encik Vahidi berkata begitu semasa menjawab soalan mengenai kemungkinan Israel menyerang loji nuklear yang dibina Russia di bandar Bushehr.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Ramin Mehmanparast, semalam berkata beliau tidak fikir Israel akan 'melakukan langkah yang berbahaya serupa itu'.

'Sebarang pencerobohan terhadap loji kuasa ini akan membawa tindak balas yang serius,' demikian beliau memberi amaran menerusi televisyen pemerintah.

Para pemimpin Israel berkata semua pilihan masih terbuka dalam menangani isu program nuklear Iran. Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Israel, Encik Yigal Palmor, enggan mengulas kenyataan Encik Vahidi itu.

Bekas duta besar Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik John Bolton, kelmarin berkata Israel mempunyai masa cuma 'lapan hari' untuk melancarkan serangan ke atas loji nuklear Iran di Bushehr bagi menghalang Teheran daripada memiliki loji nuklear yang berfungsi.

Reaktor tersebut, yang dibina oleh firma Russia, Rosatom Corp, akan mula beroperasi minggu depan apabila bahan bakar nuklear dimasukkan ke teras loji berkenaan.

Pada saat itu sudah terlambat bagi Israel melancarkan serangan tentera ke atas reaktor berkenaan, kata Encik Bolton.

Ini kerana sebarang serangan akan menyebarkan radiasi dan menjejas penduduk awam Iran.

'Sebaik saja bahan bakar uranium berada dalam reaktor, sebarang serangan tidak syak lagi akan membebaskan radiasi,' demikian Encik Bolton memberitahu Fox Business Network.

'Yang demikian, jika Israel hendak melakukan sesuatu ke atas (reaktor) Bushehr, ia harus bertindak dalam tempoh lapan hari lagi,' tegas beliau.

Encik Mehmanparast semalam berkata 'ancaman serangan sering diulang-ulang dan tidak lagi bermakna'.

'Mengikut undang-undang antarabangsa, loji yang sudah mempunyai bahan bakar tidak boleh diserang memandangkan akibatnya kepada penduduk awam,' kata beliau kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Teheran. -- AFP, Bloomberg.


No comments:

Posting Terkini