Wednesday, August 4, 2010
Ning Baizura disaman RM1 juta
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini kelmarin menetapkan 12 Oktober ini untuk pengurusan kes saman RM1 juta ($428,500) terhadap penyanyi bersuara pop soprano dan pelakon, Ning Baizura (gambar), oleh penerbit dan pengurus warga Italy, Encik Luigi Bajona.
Timbalan Pendaftar, Cik Anisah Normah Muhammad Noor, menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas bertemu peguam Encik Bajona, Cik Harleen Kaur, dan peguam Ning Baizura, Encik Richard Wee Lopez.
Pada September 2002, Encik Bajona yang berasal dari Milan, Italy, berkenalan dengan Ning Baizura, atau nama sebenarnya Ning Baizura Hamzah, 35 tahun, dan mereka mengadakan perbincangan mengenai pengembangan nama dan kerjaya penyanyi itu di luar Malaysia, terutama di Italy dan seluruh Eropah.
Mereka didakwa mempunyai perjanjian produksi dan perjanjian pengurusan yang ditandatangani pada 2 Disember 2005 dan 27 April 2007.
Pada 24 Januari 2009, Encik Bajona mendakwa penyanyi itu memfitnahnya melalui laman sosial Facebook dan atas sebab penyiaran itu, keperibadian, kredibiliti, reputasi dan nama baiknya tercemar.
Oleh itu, Encik Bajona memohon perintah kekal menghalang Ning Baizura secara sendiri dan/atau melalui ejennya dan/atau perkhidmatnya daripada membuat sebarang perwakilan berhubung dengan dirinya - sama ada secara bertulis atau sebaliknya.
Beliau menuntut ganti rugi am berjumlah RM1 juta dan faedah pada kadar 8 peratus setahun daripada tarikh saman sehingga ke tarikh penyelesaian penuh.
Labels:
Seni
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment