Pages

Sunday, August 22, 2010

Krisis kediaman ambil bertahun untuk diselesai


YANG TERDAYA DIBAWA: Cik Waziran duduk di sebuah trak menjaga barangan yang termampu dibawa beliau dan keluarganya semasa melarikan diri dari banjir di Shahdadkot, kira-kira 105 kilometers dari Sukkur, di Selatan Pakistan, semalam. - Foto REUTERS


KARACHI: Dengan kebanyakan kawasan bandar dan perkampungan ditenggelami air selepas dilanda banjir paling teruk di Pakistan, pakar-pakar berkata ia mungkin mengambil beberapa tahun untuk menyelesaikan krisis kediaman yang dihadapi hampir enam juta penduduk yang terpaksa tinggal di bawah langit terbuka sekarang.

Bencana banjir itu telah menenggelamkan seperlima daripada Pakistan - satu kawasan sebesar England - dan menjejas 20 juta penduduk di negara itu.

Ia juga merupakan bencana alam paling teruk yang pernah dihadapi negara berkenaan, dengan kesan ekonomi, sosial dan politik yang besar.

'Ini satu tugas besar. Ia bencana amat besar, yang memerlukan banyak wang dan masa untuk dibina semula... Senarionya agak suram dan ahli-ahli politik kami tidak menyedari betapa seriusnya suasana itu,' kata seorang pakar ekonomi bebas, Encik A.B. Shahid kepada agensi berita AFP.

'Kami memerlukan sekurang- kurangnya AS$3 bilion ($4.1 bilion) hanya untuk membina semula pondok-pondok dan rumah-rumah,' kata Encik Shahid.

'Dan, tidak kurang daripada AS$7 bilion untuk membaik pulih prasarana, membina jalan-jalan raya, jambatan-jambatan, longkang-longkang dan pejabat-pejabat pemerintah,' tegasnya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berkata ia terpaksa menaikkan anggaran jumlah penduduk tanpa tempat tinggal kepada enam juta dan ia telah menambah sasaran bantuan dalam bentuk bekalan khemah dan alas plastik sebanyak tiga kali ganda kepada enam juta kesemuanya.

Suasana kesengsaraan di negara itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

'Semuanya sudah sia-sia. Tidak ada apa lagi yang tinggal,' kata Encik Qasim Bhayyo, 45 tahun, seorang mangsa dari kampung Qayyas Bhayyo, salah satu daripada kawasan paling teruk dijejas banjir di wilayah Sindh, dekat selatan Pakistan.

'Saya melihat rumah saya yang diperbuat daripada kayu dan tanah liat hanyut dibawa air. Saya melihat biji-bijian dan tepung dihanyutkan.

'Kami telah menyimpan bekalan makanan untuk berbulan-bulan mendatang. Semuanya sudah terhapus. Kami tidak dapat menyelamatkan kambing-kambing dan kerbau-kerbau yang terdampar dan menangis,' kata Encik Bhayyo lagi.

Bank Pembangunan Asia (ADB) berkata ia akan menawarkan AS$2 bilion untuk membaiki prasarana yang musnah, manakala Bank Dunia menjanjikan AS$900 juta. -- AFP.





No comments:

Posting Terkini